Skip to main content

Ucapan Bajet 2011 Negeri Pahang


UCAPAN BAJET TAHUN 2011
YAB. MENTERI BESAR PAHANG


ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

1.     PENDAHULUAN

1.     Saya bersyukur kepada hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah izinNya, dapat kita bersama-sama hadir di Dewan yang mulia ini dan dapat pula saya membentangkan Bajet Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 2011 sempena Persidangan Kali Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri yang Kedua Belas pada pagi ini.

Saya mohon mencadangkan bahawa satu Rang Undang-Undang yang dinamakan :

Suatu Enakmen bagi mengeluarkan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan tahun 2011 dan bagi memperuntukkan wang tersebut untuk maksud-maksud tertentu”

dibaca bagi kali kedua.
Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,


2.     LATAR BELAKANG


2.     Sebelum saya membuat kenyataan lebih lanjut dalam ucapan Bajet kali ini, saya ingin membawa perhatian Ahli-Ahli Dewan kepada latar belakang asas yang wajib kita ketahui. Kita berada dalam satu Persekutuan. Negeri Pahang adalah sebahagian dari Persekutuan Malaysia. Bidang kuasa termasuk pentadbiran, hal-hal ekonomi, sosial telah pun ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan dan apabila kita bercakap tentang pentadbiran, kita dapati Negeri mentadbir dan mengurus negeri dan daerah. Pihak Berkuasa Tempatan ada bidang kuasa sendiri, walaupun pada kebiasaannya diselaraskan juga oleh Pihak Berkuasa Negeri. Ini mengikut amalan, walaupun dari segi undang-undang, Pihak Berkuasa Tempatan ada bidang kuasa tersendiri.

3.     Dalam bidang ekonomi khususnya hal ehwal percukaian kecuali tanah dan air, semua cukai dikutip terus oleh Kerajaan Persekutuan. Cukai pendapatan, cukai jualan, cukai perkhidmatan yang merupakan sumber terbesar hasil negara, kesemuanya disalurkan ke Perbendaharaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan menyalurkan semula kepada Kerajaan Negeri peruntukan kewangan seperti yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan dalam bentuk Capitation Grant dan Road Grant dan peruntukan yang lain serta pinjaman yang tidak dimaktub dalam perlembagaan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri.

4.     Dalam hal sosial jika diambil contoh, bidang pendidikan, ianya terletak sepenuhnya di bawah Kerajaan Persekutuan. Namun Kerajaan Negeri, sedikit sebanyak mengikut kemampuan, menyumbang juga ke dalam bidang pendidikan melalui bantuan pendidikan yang disalurkan oleh Yayasan Pahang. Begitu juga hal kebajikan rakyat termasuk hal-hal Orang Asli diuruskan sebahagian besar melalui Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri lebih merupakan penyelaras kepada peruntukan ini dan akan memohon tambahan dan juga menambah dari peruntukan Kerajaan Negeri mengikut kesesuaian.

5.     Saya sebutkan ini Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua ialah supaya semua pihak mesti memahami beberapa perkara asas apabila melihat Bajet Negeri, rancangan dan perlaksanaan pembangunan negeri serta yang paling penting kedudukan kewangan Negeri. Perkara penting yang wajib difahami oleh semua pihak ialah :-

Pertama - Pembangunan negeri tidak boleh dipisahkan dari pembangunan Kerajaan Persekutuan.
Kedua - Kedudukan kewangan negeri tidak mungkin,     bahkan mustahil sehingga Hari Kiamat, boleh    menanggung kesemua kos pembangunan tanpa bantuan Kerajaan Persekutuan.

Ketiga - Semua dasar-dasar Kerajaan Persekutuan khususnya dasar pembangunan akan melibatkan Kerajaan Negeri dan menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri melaksanakannya dengan lancar dan berkesan.

Keempat - Negeri Pahang yang besar dan luas yang masih berteraskan kelompok masyarakat bukan urban bahkan luar bandar memerlukan peruntukan pembangunan yang sangat besar.

Kelima – Oleh sebab perbelanjaan pembangunan yang diperlukan sangat besar, kedudukan kewangan tidak mencukupi maka 2 perkara mesti berlaku dan tidak boleh dielakkan iaitu pertama bantuan kewangan yang berterusan dari Kerajaan Persekutuan diperlukan dan yang kedua defisit mesti tidak dapat dielakkan dalam Bajet Negeri.

3.     PENGHARGAAN

6.     Saya ingin mengambil kesempatan di sini, Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua, untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan atas kejayaan membentangkan Bajet Negara bagi tahun 2011 di Dewan Rakyat pada hari Jumaat, 15 Oktober 2010 yang lalu bertemakan “Transformasi Ke Arah Negara Maju dan Berpendapatan Tinggi”.

7.     Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mempunyai keistimewaan iaitu memiliki ilmu pengetahuan dan memahami teori-teori dan juga prinsip-prinsip ekonomi yang begitu kompleks dan rencam tetapi mampu menterjemahkannya dalam bentuk yang paling mudah dan boleh dipraktikkan dalam keadaan realiti yang memerlukan.

8.     Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menterjemahkan dasar dan prinsip fiskal dan pembangunan secara jelas bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020. YAB. Perdana Menteri telah membentangkan Bajet yang ditunjangi oleh 4 kerangka penting :-

·        Pertama – 1 Malaysia : Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan
·        Kedua – Pelan Transformasi Kerajaan (GTP)
·        Ketiga – Pelan Transformasi Ekonomi (ETP)
·        Keempat – Rancangan Malaysia Ke-10

9.     Kesemuanya adalah menjurus ke arah menguruskan ekonomi secara lebih cekap dan berkesan untuk meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat menuju status Negara Maju 2020. Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri dan kita semua, wakil-wakil rakyat, pegawai dan kakitangan Kerajaan memastikan dasar dan matlamat Kerajaan di bawah kepimpinan YAB. Perdana Menteri dilaksanakan dengan cekap dan berkesan untuk mencapai matlamat.

4.     SENARIO EKONOMI NEGERI

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

10.    Walaupun tumpuan utama kegiatan ekonomi negeri masih lagi dalam sektor pertanian dan industri asas tani, namun sumbangan sektor berkenaan kepada pertumbuhan ekonomi masih perlahan dan diambilalih oleh sektor perkhidmatan dan perindustrian. Sumbangan sektor perkhidmatan kepada ekonomi negeri terus meningkat dari 51% dalam tahun 2005 kepada 52.1% dalam tahun 2010 dan dijangka terus meningkat kepada 55% dalam tahun 2015. Sumbangan sektor perindustrian terus melonjak kepada 27.2% dalam tahun 2010 dari sebanyak 21.6% dalam tahun 2005.

11.    Sungguhpun sumbangan sektor-sektor lain dijangka terus meningkat namun kepentingan sektor pertanian akan terus dipertahankan kerana sebahagian besar dari penduduk di negeri ini terlibat dalam sektor pertanian. Selaras dengan itu, Kerajaan akan memastikan pelupusan tanah akan dibuat secara lebih teliti dan berhemah demi kepentingan generasi akan datang. Pembangunan tanah akan dilaksanakan secara lebih terancang bagi mendapatkan faedah semaksima mungkin dari pelaburan yang dicurahkan dengan penekanan kepada kepentingan rakyat terbanyak dan bukan hanya bertujuan komersil semata-mata.

12.    Dari segi guna tenaga, sektor perkhidmatan menyerap sebanyak 45.6% guna tenaga diikuti oleh sektor perkilangan sebanyak 16.2%. Sektor-sektor lain, termasuk sektor pertanian menggunakan tidak sampai 10% dari guna tenaga. Satu fenomena yang perlu diakui hakikatnya ialah sebanyak 25.7% tenaga kerja adalah terdiri dari bukan warganegara yang kebanyakannya tertumpu di sektor perkhidmatan dan perkilangan. Dari seramai 95,219 orang yang terlibat dalam sektor perkilangan sebanyak 66.8% terdiri dari bukan warganegara dan sebanyak 14.4% guna tenaga dalam sektor perkhidmatan adalah terdiri dari bukan warganegara.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

5.     PRESTASI KEWANGAN NEGERI 2010

13.    Sehingga akhir Ogos 2010, Kerajaan Negeri telah mengutip hasil sebanyak RM347.78 juta atau 72.54% dari sasaran hasil yang dianggarkan sebanyak RM479.40 juta. Baki kutipan hasil adalah sebanyak RM131.62 juta untuk dikutip bagi tempoh empat bulan akan datang. Sekiranya prestasi kutipan hasil seperti sekarang, Kerajaan yakin sasaran kutipan hasil sebanyak RM479.40 juta itu boleh dicapai.

14.    Bagi tempoh lapan bulan tahun 2010, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM346.43 juta bagi tujuan pengurusan dan pentadbiran Kerajaan dan sebanyak RM148.47 juta lagi bagi pelaksanaan perbelanjaan projek-projek pembangunan. Perbelanjaan Pengurusan yang terbesar adalah bagi tujuan Gaji dan Emolumen serta Pemberian Dalam Negeri. Sementara itu bagi tujuan Pembangunan pula perbelanjaan yang besar dikeluarkan bagi pelaksanaan projek-projek bekalan air.
15.    Secara kasar, hasil Negeri sehingga akhir Ogos 2010 masih mampu menampung Perbelanjaan Mengurus Negeri dengan mempunyai lebihan sebanyak RM1.35 juta. Walau bagaimanapun, sekiranya kesemua perbelanjaan diambil kira maka kedudukan kewangan semasa kerajaan telah mengalami defisit sebanyak RM147.12 juta. Defisit yang tinggi ini adalah kerana terimaan wang pinjaman dari Kerajaan Persekutuan bagi projek bekalan air sebanyak RM57.0 juta berbanding terimaan yang sepatutnya sebanyak RM163.3 juta, sedangkan perbelanjaan terkini adalah sebanyak RM113.2 juta. Walau bagaimanapun, defisit ini akan berkurang pada akhir tahun apabila semua terimaan wang pinjaman dari Kerajaan Persekutuan diperolehi.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

16.    Jika kita merujuk kepada ucapan Bajet 2011 Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, pola ucapan apabila menyentuh tentang Perbelanjaan Mengurus dan juga Perbelanjaan Pembangunan ialah dengan menyentuh bidang-bidang tertentu kemudian menyebut tindakan yang akan diambil dan akhirnya akan menyebut jumlah peruntukan yang disalurkan. Tetapi di peringkat Negeri kita tidak mampu berbuat demikian kerana kita tidak mempunyai kewangan yang cukup dan bukan semua aspek kehidupan yang kita sentuh boleh kita salurkan peruntukan kewangan yang secukupnya. Oleh sebab itu, Ucapan Bajet di peringkat Negeri kita biasa tidak mampu berbuat demikian kerana punca kewangan yang terhad. Apa yang boleh dibuat ialah dengan menyentuh secara kasar hal-hal yang berkaitan dengan dasar dan dari mana peruntukan itu boleh dicuba untuk diperolehi.

6.     PENDEKATAN PEMBANGUNAN

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

17.    Setelah mengambil kira latar belakang yang saya sebutkan tadi, Bajet Negeri akan mengambil tindakan dan tumpuan kepada perkara berikut :-

Pertama – Menguruskan kewangan yang lebih cekap, berbelanja secara berhemah dan memastikan perbelanjaan yang dikeluarkan berdasarkan ‘outcome’ yang baik untuk rakyat dan Negeri

Kedua – Menumpukan perhatian ke arah mencari punca hasil baru Negeri dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

7.     STRATEGI MENINGKATKAN HASIL NEGERI

18.    Mencari punca hasil baru negeri boleh dilakukan melalui dua pendekatan iaitu pendekatan jangka pendek dan pendekatan jangka panjang. Pendekatan jangka pendek Insya Allah akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri dengan mewajibkan semua Agensi Kerajaan menyalurkan 50% daripada keuntungan masing-masing kepada Kerajaan Negeri. Anak-anak syarikat kepada agensi-agensi Kerajaan akan diwajibkan menyalurkan 50% dari keuntungan anak-anak syarikat kepada agensi masing-masing dan 50% daripada sumbangan itu diwajibkan disalurkan pula kepada Kerajaan Negeri. Langkah ini akan dikuatkuasakan mulai tahun hadapan tahun 2011 dan ini bermakna kesemua agensi Kerajaan dan anak-anak syarikat agensi Kerajaan akan menyalurkan sumbangan kepada Kerajaan Negeri berdasarkan kepada keuntungan yang dibuat pada tahun ini, iaitu tahun 2010.

19.    Pendekatan yang kedua, secara pendekatan jangka panjang, InsyaAllah Kerajaan Negeri akan terlibat secara terus dalam projek pelaburan berskala besar yang berdaya maju dengan pelabur-pelabur asing mengikut kesesuaian. Penerokaan dalam bidang bioteknologi akan diteruskan dan ianya dijangka boleh mendatangkan hasil terus kepada Kerajaan Negeri kalaupun tidak masa sekarang tetapi masa jangka panjang.

20.    Sumbangan dari agensi Kerajaan dan anak-anak syarikat agensi kepada Kerajaan Negeri dianggap wajar, patut dan munasabah kerana kesemuanya diwujudkan oleh Kerajaan Negeri dengan sumbangan Kerajaan Negeri dari masa ke semasa bermula dengan sumbangan dalam bentuk launching grant. Kerajaan Negeri akan memohon bantuan Kerajaan Persekutuan dari masa ke semasa oleh sebab kemajuan pembangunan Negeri secara langsung dan tidak langsung menyumbang kepada pembangunan negara pada keseluruhannya.

8.     BAJET NEGERI TAHUN 2011

21.    Bajet tahun 2011 disasarkan sebanyak RM871,117,390.00 iaitu sebanyak RM600,424,140.00 disediakan untuk Perbelanjaan Pengurusan dan sebanyak RM270,693,250.00 untuk Peruntukan Pembangunan. Peruntukan untuk Mengurus adalah 68.92% dari keseluruhan Bajet 2011.

PERUNTUKAN MENGURUS

22.    Bagi peruntukan Mengurus yang sebanyak RM600,424,140.00 itu, sebanyak RM250,976,050.00 atau 41.80% disediakan untuk Emolumen; sebanyak RM216,450,210.00 atau 36.05% disediakan untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap; sebanyak RM129,573,790.00 atau 21.58% disediakan untuk Perkhidmatan dan Bekalan sementara selebihnya adalah untuk Aset dan Perbelanjaan-Perbelanjaan lain.

23.    Peruntukan belanja mengurus sebanyak RM600,424,140.00 itu disediakan untuk belanja mengurus jabatan sebanyak RM462,590,890.00 dan sebanyak RM137,833,250.00 untuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan dan Bekalan Air. Bagi peruntukan mengurus jabatan sebanyak RM462,590,890.00 itu, sebanyak RM419,419,400 untuk Batas Perbelanjaan; sebanyak RM20,103,590.00 untuk Dasar Baru; dan sebanyak RM23,067,900.00 untuk One-Off.

24.    Jumlah peruntukan mengurus sebanyak RM600,424,140.00 itu adalah melebihi hasil yang dijangka dapat dikutip pada tahun 2011 sebanyak RM532,177,720.00. Ini menjadikan Bajet Negeri Pahang bagi tahun 2011 berada dalam keadaan defisit sebanyak RM68,246,420.00. Walau bagaimanapun, kedudukan defisit ini jauh lebih baik dari anggaran defisit pada tahun 2010 iaitu sebanyak RM92,481,950.00. Kerajaan akan meneruskan usaha mengurangkan jumlah defisit ini pada tahun-tahun akan datang bagi mendapatkan kedudukan kewangan yang lebih baik.

25.    Bebanan kewangan untuk Belanja Mengurus semakin meningkat sedangkan hasil yang boleh dikutip tidak meningkat secepat peningkatan Belanja Mengurus yang semakin meningkat mengakibatkan peruntukan untuk Pembangunan terpaksa dikurangkan.

26.    Dalam kekangan yang sedia ada, Kerajaan akan berusaha sedaya upaya menyeimbangkan seberapa boleh di antara hasil Negeri dengan perbelanjaan negeri. Jalan mudah ialah meningkatkan hasil negeri dengan cara menaikkan cukai tanah, tarif air dan lain-lain cukai yang boleh dikenakan. Perbelanjaan, samada Perbelanjaan Mengurus mahupun Perbelanjaan Pembangunan mesti dikurangkan. Segala langkah penjimatan mesti diambil.

27.    Namun demikian, realitinya tidak semudah itu. Bagi sebuah Negeri yang berteraskan masyarakat luar bandar yang bukan urban, menaikkan cukai dan tarif bukanlah pilihan yang sesuai. Jika ini dilakukan rakyat akan terbeban. Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan tidak akan mengambil langkah  sedemikian. Ini bererti ketidakseimbangan ini, mahu tidak mahu, terpaksa dihadapi.

28.    Ada dua pilihan yang boleh diambil; pertama, Kerajaan mesti mencari sumber baru, dan ini Kerajaan sedang usahakan dan telahpun disebut oleh saya sebentar tadi. Kedua, Kerajaan Persekutuan mesti terus memberikan bantuan kewangan dan jika sesuai, ianya mesti ditambah amaun.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

PENDEKATAN PERANCANGAN

29.    Kerajaan Negeri akan menggunakan empat pendekatan dalam Pembangunan Negeri bagi tahun- tahun yang akan datang.

Pertama - Mengemaskini pengkalan data sedia ada di semua jabatan dan mengumpulkannya ke satu pusat atau unit di peringkat Negeri dengan tujuan memudahkan penyelarasan dan penganalisaan.

Kedua - Melaksanakan ‘matching’ sumber negeri sedia ada yang meliputi tanah, modal insan, peruntukan kewangan dengan Jabatan, agensi dan  rakan strategik yang sesuai.                       

Ketiga - Mewujudkan sistem pemantauan untuk memastikan setiap objektif tercapai dan setiap sumber digunakan secara optimum.

Keempat -        Mengadakan kajian impak untuk menentukan setiap program memberikan hasil yang menepati sasaran.      

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

9.     RANCANGAN MALAYSIA KE-10 DAN RANCANGAN MALAYSIA SETERUSNYA

30.    Mulai Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10), Kerajaan akan melaksanakan projek dan program secara rolling plan. Melalui pendekatan ini, pelaksanaan program dan projek akan dibuat untuk setiap dua tahun bermula tahun 2011 sehingga 2012. Pendekatan ini membolehkan komitmen Kerajaan untuk melaksanakan program dan projek berdasarkan kemampuan kewangan Kerajaan dan memberi fleksibiliti kepada Kerajaan untuk mengambil kira keutamaan baru sesuai dengan persekitaran ekonomi domestik dan global.

31.    Kesemua cadangan program dan projek yang akan dilaksanakan dalam tempoh RMKe-10 akan sentiasa dikaji kewajarannya, khususnya untuk menjadikan Negeri Pahang bergerak lebih pantas mengejar negeri di Pantai Barat untuk menjadi negeri maju.

32.    Negeri Pahang adalah negeri yang luas yang masih bergelut dengan masalah kemudahan asas yang melambatkan pertumbuhan pesat ekonomi. Kerajaan tidak mampu menyediakan peruntukan yang besar bagi penyediaan kemudahan asas tersebut kerana kekurangan sumber hasil. Seperti yang telah saya sebutkan tadi, di sinilah pentingnya Kerajaan Persekutuan menyalurkan lebih banyak peruntukkan Pembangunan, kemudahan asas kepada Negeri Pahang agar tahap kemudahan infrastruktur di Negeri ini sebanding dengan negeri – negeri yang lain.

33.    Perkara ini perlu diberi perhatian kerana halangan utama yang terpaksa dilalui oleh pelabur- pelabur adalah mereka terpaksa mengadakan peruntukan yang besar untuk menyediakan kemudahan asas sebelum boleh membuka kilang masing- masing.
34.    Program-program dan projek-projek yang akan dilaksanakan dalam tahun 2011 adalah projek sambungan dari Rancangan Malaysia Ke-9. Projek-projek baru yang dilaksanakan menggunakan pendekatan rolling plan hanya akan mula dilaksanakan mulai tahun 2012.  Walau bagaimanapun, perancangan untuk menyusun senarai keutamaan pelaksanaan projek Rancangan Malaysia Ke-10 bolehlah dimulakan sekarang sehingga tahun 2011 dan mulai tahun 2012 pelaksanaan program dan projek yang telah ditentukan keutamaan boleh bermula.

35.    Pada tahun 2011 sebanyak RM270,693,250.00 disediakan untuk projek-projek Pembangunan iaitu      RM187,933,250.00 adalah dari sumber dalam negeri dan sebanyak RM82,760,000.00 adalah dari sumber pinjaman dari Kerajaan Persekutuan bagi projek bekalan air.

36.    Jabatan-Jabatan yang diberikan peruntukan melaksanakan projek- projek pembangunan pada tahun 2011 adalah seperti berikut:-

·        Pejabat Setiausaha Kerajaan
·        Pejabat Kewangan Negeri
·        Jabatan Kerja Raya
·        Jabatan Perhutanan Negeri
·        Jabatan Perkhidmatan Veterinar
·        Jabatan Pertanian Negeri
·        Jabatan Pengairan dan Saliran
·        Jabatan Agama Islam Negeri
·        Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri
·        Jabatan Kehakiman Syariah
·        Jabatan Bekalan Air

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua,

37.    Berdasarkan keadaan geografi dan ekonomi Negeri Pahang, Kerajaan akan menumpukan perhatian kepada:-

Pertama   - meningkatkan kemudahsampaian dan   
  jaringan perhubungan
Kedua      - meningkatkan kapasiti utiliti
Ketiga      - memperkukuh rantaian sektor produktif
Keempat - memantapkan modal insan
Kelima     - melebarkan jaringan sosial
Keenam   - meningkatkan kualiti hidup
Ketujuh    - menggalakkan pelaburan swasta dalam
                     aktiviti ekonomi terpilih

38.    Berdasarkan kesediaan sumber-sumber ekonomi, Kerajaan akan memfokuskan kepada bidang-bidang ekonomi utama iaitu minyak sawit dan produk berkaitan minyak sawit, pertanian, automotif, perkhidmatan pendidikan, teknologi maklumat dan pelancongan.

39.    Bagi memastikan semua ini boleh dicapai,  Kerajaan Negeri dengan bantuan besar dari Kerajaan Persekutuan telah menyenaraikan sebanyak 3,485 projek yang berjumlah RM55.79 bilion. Peruntukan sebanyak itu sudah tentu tidak mampu disediakan oleh Kerajaan Negeri, tambahan pula kebanyakan dari projek tersebut bersaiz besar. Di sinilah pentingnya Kerajaan Pusat, Kerajaan Persekutuan, membantu menyediakan peruntukan sewajarnya.

40.    Daripada senarai tersebut sebanyak 680 projek bernilai RM36.81 bilion adalah untuk infrastruktur, pengangkutan dan perumahan; sebanyak 842 projek bernilai RM4.73 bilion adalah untuk Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan; sebanyak 201 projek bernilai RM3.12 bilion adalah untuk pembangunan luar bandar dan sebanyak 812 projek bernilai RM4.12 bilion adalah untuk pembangunan sumber manusia.

41.    Walau bagaimanapun, oleh sebab kekangan kewangan yang dihadapi oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri telah menyusun semula keutamaan pelaksanaan projek tersebut kepada 88 projek sahaja dengan nilai RM7.26 bilion sahaja iaitu:

·        14 projek bernilai RM2.97 bilion untuk meningkatkan akses dan kapasiti jaringan darat, udara dan laut
·        12 projek bernilai RM1.10 bilion untuk membesarkan kapasiti utiliti – air, elektrik dan komunikasi
·        4 projek bernilai RM1.15 bilion untuk memantapkan pelaburan
·        22 projek bernilai RM901.3 juta untuk menambah nilai sektor-sektor produktif
·        16 projek bernilai RM709 juta untuk meningkatkan kualiti hidup
·        7 projek bernilai RM254.6 juta untuk memantapkan modal insan; dan
·        13 projek bernilai RM182.5 juta untuk melebarkan jaringan sosial.

42.    Bagi meningkatkan kemudahsampaian dan kapasiti jaringan darat, Kerajaan telah menyenaraikan beberapa jalan penting kepada Kerajaan Persekutuan untuk dilaksanakan mulai tahun 2011; antaranya melaksanakan:-

·        Pembinaan Jalan Raya Central Spine Road (CSR)
·        Menaiktaraf Laluan Lebuhraya Tun Razak
·        Membina Jalan Pintasan Pekan
·        Membina Jalan Sungai Lembing – Jerantut
·        Menaiktaraf Jalan Temerloh – Triang Fasa 3
·        Jalan Persisiran Pantai Charok Paloh – Tg. Selangor
·        Menaiktaraf Jalan Jabor – Sg Ular
·        Menaiktaraf Jalan Manchis – Chemomoi
·        Menaiktaraf Jalan Persimpangan Bunga Chengkih ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur
·        Pembinaan Rel Menghubungkan K. Lumpur – Kuantan

43.    Bagi meningkatkan kemudahsampaian dan kapasiti jaringan udara, Kerajaan telah menyenaraikan dua projek kepada Kerajaan Persekutuan iaitu :-

·        Pembinaan Lapangan Terbang Baru Kuantan; dan
·        Pembinaan Lapangan Terbang Baru Tioman

44.    Bagi meningkatkan kapasiti utiliti bekalan air, elektrik dan komunikasi, Kerajaan telah menyenaraikan beberapa projek kritikal, antaranya:-

·        4 projek bagi telekomunikasi dan multimedia iaitu Infrastruktur Selular, Pusat Jalur Lebar Komuniti, Infrastruktur Perkhidmatan Jalur Lebar Tetap dan Infrastruktur Jalur Lebar Tanpa Wayar.

·        8 projek bekalan air iaitu Projek Mengurangkan Kehilangan Air Tidak Berhasil Di Setiap Daerah, Projek Menaiktaraf Loji-Loji Air Setiap Daerah, Bekalan Air Kuantan Fasa 3, Bekalan Air Pekan, Bekalan Air Bentong, Pembinaan Loji Rawatan Sludge, Bekalan Air Maran dan Bekalan Air Bera.

45.    Bagi meningkatkan nilai tambah dan rangkaian sektor produktif - pertanian, kerajaan telah mengenalpasti beberapa projek dan program penting, antaranya:-

·        Pengembangan Teknologi Kejuruteraan Pertanian
·        Menambah Kawasan Kekal Pengeluaran Makanan
·        Pembangunan Ladang Warisan
·        Pembangunan Ameniti Sosial
·        Pembinaan Kompleks Pasar Tani Harian dan Kekal
·        Pembinaan Pusat Pengumpulan dan Pembangunan Hasil Pertanian, dan
·        Program Penyatuan dan Pemulihan Tanah untuk Pertanian

46.    Bagi meningkatkan nilai tambah dan rangkaian sektor produktifpembuatan, Kerajaan telah mengenal pasti beberapa projek berimpak tinggi, antaranya:-
·        Menaiktaraf kawasan-kawasan perindustrian
·        Pembinaan infrastruktur Tanjung Agas, Pekan
·        Fasa ll Hab Halal Gambang
·        Fasa lV Kawasan Perindustrian Gebeng
·        Science Park, Gambang
·        Fasa lll Kawasan Perindustrian Semambu
·        Fasa ll A Kawasan Perindustrian Bentong, dan
·        Kajian Pelan Induk Perindustrian Pahang

47.    Bagi memantapkan modal insan untuk melahirkan generasi berilmu dan kreatif sesuai dengan keperluan tenaga kerja pada masa hadapan, Kerajaan Negeri mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan supaya membina lebih banyak sekolah rendah, sekolah menengah, asrama, rumah guru, perpustakaan daerah dan pusat pembangunan belia.

48.    Bagi melebarkan jaringan sosial di antara masyarakat dan kawasan, Kerajaan Negeri berharap Kerajaan Persekutuan menyediakan lebih banyak kemudahan prasarana di kawasan-kawasan pedalaman seperti penyediaan perumahan rakyat yang selesa dan mampu milik, pembinaan jalan-jalan luar bandar, jambatan dan bekalan elektrik serta bekalan air bersih.  Kawasan-kawasan yang memerlukan perumahan rakyat ialah di Benta, Lipis; Kg. Tekek, Pulau Tioman; Brinchang, Cameron Highlands; Tebing Tinggi, Jerantut; Jaya Gading, Kuantan; Kg. Kolek, Kuantan dan Kampung Lebu, Bentong.

49.    Bagi meningkatkan kualiti hidup, Kerajaan Negeri mencadangkan agar lebih banyak klinik dibina, menaiktaraf balai-balai polis, pembinaan tempat letak kereta dan terminal pengangkutan, pasar, gerai dan kuarters kakitangan kerajaan.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

10.   TANAH, MINERAL, BEKALAN AIR, HUTAN

TANAH

50.    Tanah adalah harta pusaka yang amat bernilai untuk diwariskan kepada generasi akan datang dan ianya tidak boleh dilupuskan sewenang-wenangnya, lebih- lebih lagi dalam jumlah yang besar dan bersaiz besar. Pengurusan tanah secara lebih bijak khususnya dalam menjaga kepentingan Negeri hendaklah dilaksanakan oleh semua pihak. Pihak-pihak yang telah diberikan kepercayaan dalam pengurusan tanah mesti melaksanakan amanah dengan jujur.

51.    Kerajaan akan sentiasa mengemaskini data mengenai tanah di Negeri ini untuk dianalisa bagi membolehkan Kerajaan membuat perancangan yang lebih tersusun bersesuaian dengan tanah yang ada.

MINERAL

52.    Sumber mineral di Negeri ini mempunyai potensi besar untuk diusaha hasilkan bagi menjana hasil Negeri. Walau bagaimanapun, penerokaan dalam bidang ini perlu dibuat secara lebih sistematik dan teratur bagi menjamin kemapanan dan keseimbangan alam sekitar. Kerajaan akan melaksanakan pendekatan yang boleh memberi ruang dan peluang kepada Agensi Kerajaan, pihak swasta dan pihak persendirian melibatkan diri dalam bidang ini.

53.    Kerajaan yakin dan percaya dengan pendekatan yang lebih holistik dan sistematik, pungutan royalti yang dijangka mencecah lebih RM20 juta pada tahun 2011 akan dapat dipertingkatkan lagi pada tahun - tahun yang berikutnya. Pada ketika yang sama pengusaha hasilan di Negeri ini akan dapat diuruskan dengan lebih berkesan.

BEKALAN AIR

54.    Permintaan terhadap bekalan air meningkat selaras dengan perkembangan ekonomi. Kos untuk menyediakan kemudahan bekalan air terus meningkat setiap tahun, terutamanya kos selenggara dan bahan-bahan alat ganti. Kebanyakan loji air yang ada sekarang telah berusia dan telah sampai kepada kapasiti maksimum. Masalah kehilangan air tidak berhasil (NRW) yang sekarang berada di peringkat 53% adalah kadar yang tinggi dan sebahagiannya disebabkan oleh paip-paip air yang sering pecah. Kerajaan menyedari bahawa kadar NRW tersebut adalah tinggi dan Kerajaan telah, sedang dan akan mengatasi masalah tersebut dengan terus mengganti paip air, komponen-komponen bekalan air dalam sistem rangkaian bekalan, pemasangan alat penyukat aliran air, penggunaan sistem Geographical Information System (GIS)  dan menerapkan falsafah kerja yang lebih dinamik.

55.    Dalam Rancangan Malaysia Ke-10, Jabatan Bekalan Air Negeri telah memohon peruntukan berjumlah RM533.2 juta bagi pelaksanaan skim bekalan air baru seperti berikut:-

·        Rancangan Bekalan Air Bentong Fasa 4
·        Rancangan Bekalan Air Maran
·        Rancangan Bekalan Air Lipis
·        Rancangan Bekalan Air Bera, dan
·        Rancangan Bekalan Air Cameron Highlands

56.    Di samping usaha berterusan oleh Kerajaan untuk membekalkan air bersih kepada rakyat, rakyat juga seharusnya lebih bertanggungjawab untuk membayar bil air. Saya perlu menegaskan bahawa bekalan air bersih yang kita nikmati itu sebenarnya telah ditanggung subsidi oleh kerajaan lebih dari 47%. Saya ingin memaklumkan kepada Dewan ini bahawa sehingga kini tunggakan air mencecah RM16.6 juta.  Selaras dengan itu saya menggesa semua pengguna air supaya membayar tunggakan bil air sebelum tindakan diambil.

HUTAN

57.    Pemuliharaan dan penjagaan hutan dan alam sekitar adalah penting kepada biodiversity dan kelangsungan rantaian kehidupan khususnya dalam menjaga hutan sebagai sumber bekalan air dan sebagai menghadapi ancaman pemanasan global yang boleh mengakibatkan malapetaka kepada manusia. Oleh sebab itu, pengusaha hasil hutan hendaklah dilaksanakan secara lebih terurus dan tersusun. 

58.    Kerajaan akan melaksanakan program pemulihan kawasan hutan samada dalam Hutan Simpan mahupun Hutan Tanah Kerajaan. Segala langkah yang diambil akan dirujuk kepada Majlis Perhutanan Negara. Untuk makluman Dewan, walaupun langkah penanaman semula dibuat oleh Jabatan Perhutanan dari masa ke semasa, namun masih banyak lagi ruang yang boleh dilakukan untuk menambah baik dan meningkatkan usaha ini.

59.    Terlalu banyak kawasan hutan yang telah diusahasilkan sebelum ini berada dalam keadaan ‘miskin’ dan rosak. Jabatan Perhutanan akan mengenal pasti kawasan hutan sedemikian untuk membolehkan penanaman semula dilaksanakan termasuk menanam pokok getah daripada spesis Timber Latex Clone (TLC). Usaha ini akan dilaksanakan oleh Agensi Kerajaan dan jika sesuai akan dilibatkan juga pihak swasta dan pihak persendirian. Kerajaan yakin dengan usaha sedemikian, kawasan hutan akan terus dapat dipelihara dan pada ketika yang sama hasil Negeri akan dapat dipertingkatkan, paling tidak untuk tempoh jangka panjang. Dalam Rancangan Malaysia Ke-10,  Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak RM39.57 juta untuk 31 program pembangunan hutan termasuk projek Central Forest Spine, Pengurusan Hutan Tadahan Air dan Bio-Diversiti Hutan.

11.   PERTANIAN, PENTERNAKAN, PERIKANAN

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

PERTANIAN

60.    Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian dalam bidang pertanian kerana Negeri Pahang masih mempunyai tanah yang sesuai untuk aktiviti pertanian dan industri asas tani. Cabaran yang dihadapi mungkin bagaimanakah caranya  tanah-tanah milik masyarakat luar bandar yang bersaiz kecil untuk kegiatan pertanian yang lebih besar boleh diusahakan secara bersepadu oleh agensi-agensi tertentu bagi memberikan peluang kepada pemilik-pemilik tanah mendapat pulangan yang agak lumayan.

61.    Oleh sebab itu, semua pihak yang terlibat dalam sektor pertanian seharusnya berfikir di luar kotak dan  melakukan anjakan paradigma supaya cara berfikir dan bertindak  tidak hanya mengutamakan pertanian komersil dengan memohon tanah Kerajaan sahaja tetapi dengan melibatkan juga masyarakat luar bandar yang mempunyai tanah bersaiz kecil.

62.    Saya mencadangkan agar fungsi agensi pembangunan tanah seperti Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Negara (FELCRA), Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP), Jabatan-jabatan yang berkaitan dan juga pihak swasta bergabung tenaga memajukan tanah pekebun kecil yang terbiar untuk dijadikan ladang pengeluaran hasil pertanian yang berskala besar untuk tujuan komersil.

63.    Ini dibuat memandangkan Kerajaan tidak lagi mampu menyediakan tanah yang sesuai, luas, dan telah tersedia kemudahan infrastruktur untuk dimajukan sebagai kawasan perusahaan pertanian. Tanah Kerajaan yang ada mesti disimpan sedikit sebanyak untuk kegunaan lebih strategik di masa akan datang kalaupun tidak untuk generasi yang akan datang.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,
       
                PENTERNAKAN

64.    Kegiatan ternakan akan juga diberikan tumpuan dan Strategic Development And Action Plan For Pahang Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang akan diberikan tumpuan untuk direalisasikan dan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10, Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan memfokuskan kepada program pembangunan industri ruminan, industri unggas, pusat sumber genetik ternakan, pembangunan kesihatan veterinar dan industri makanan ternakan.

                PERIKANAN

65.    Dalam hal perikanan, Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua, penerokaan sumber perikanan laut kini berada pada tahap optimum. Selaras dengan itu tumpuan sekarang patut ditumpukan kepada bidang akuakultur di kawasan daratan dan perairan. Kawasan seluas 10,773 hektar telah dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan sebagai Kawasan Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan -Zon Industri Akuakultur. Kawasan ini dijangka berupaya mengeluarkan 54,000 tan metrik hasil akuakultur bernilai RM910 juta sekiranya diusahakan secara komersil dengan penglibatan pihak swasta sepenuhnya.

66.    Perikanan mapan adalah isu penting yang diberikan perhatian oleh Kerajaan supaya industri ini dilaksanakan secara berterusan tanpa memberikan kesan negatif kepada alam sekitar. Selaras dengan itu, Kerajaan menggalakkan pihak pengusaha industri menggunakan Amalan Baik Akuakultur dan Sanitary Phitosanitary bagi menjamin mutu dan keselamatan di peringkat ladang dan pusat-pusat pendaratan ikan.

12.   UGAMA ISLAM, PENDIDIKAN, SUKAN, BELIA

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

UGAMA ISLAM

67.    Peranan institusi Islam mesti dipertingkatkan keberkesanannya kerana sejak akhir-akhir ini ancaman terhadap Islam datang dalam pelbagai bentuk. Maklumat-maklumat songsang dan menyeleweng dari media elektronik khususnya internet tidak ditapis dan disaring dan mudah diakses oleh generasi muda dan ini boleh membentuk nilai negatif menyebabkan mereka mempunyai persepsi tersendiri yang nyata salah dan mengancam aqidah. Fenomena ini perlu ditangani dengan bijak.

68.    Pada masa kini Dunia Barat mempunyai persepsi negatif terhadap umat Islam yang dilabelkan sebagai pengganas. Malah persepsi negatif juga dilemparkan kepada pengurusan Agama Islam kerana kegagalan kita memartabatkan kehebatan Islam dalam pengurusan. Kita sering berbeza pendapat. Justeru itu, tanggungjawab untuk membersihkan tanggapan tersebut dengan mengetengahkan imej sebenar Islam menjadi tugas yang mencabar kepada semua orang Islam, dan ianya mesti diberikan keutamaan serta dilaksanakan mulai sekarang.

69.    Kerajaan akan memastikan supaya ajaran Ugama Islam sebenar ditonjolkan sebagai satu cara hidup yang sederhana, lengkap dan sangat toleran. Islam melarang kekerasan dan keganasan. Jarang benar ditonjolkan bagaimana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam menegah tentera Islam yang mempertahankan tanah air dalam peperangan supaya tidak membunuh orang tua, perempuan, anak-anak dan menegah pokok-pokok dipotong, menegah rumah ibadat dirosakkan dan sehingga menegah bekalan air dipotong dari mengalir ke kawasan musuh. Inilah aspek keindahan ajaran Islam yang jarang ditonjolkan dan tidak diketahui langsung oleh orang bukan Islam. Untuk tujuan ini, kegiatan dakwah dan penerangan melalui sesi ceramah dan penerangan kepada orang Islam akan dipergiatkan. Orang bukan Islam yang berminat mendengar tidak dilarang berbuat demikian.

                PENDIDIKAN

70.    Kerajaan akan terus memberikan kerjasama dalam bidang pendidikan dengan menyediakan bantuan pendidikan melalui Yayasan Pahang kerana kita sedar bahawa pendidikan tinggi merupakan cutting edge kepada daya saing negara untuk muncul menjadi negara maju pada satu masa nanti. Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang akan melaksanakan pendekatan holistik dalam melahirkan modal insan yang berketrampilan dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran.

71.    Bagi mencapai hasrat melahirkan modal insan berketrampilan ini, Yayasan Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM58 juta pada tahun 2011 iaitu peningkatan sebanyak 5.5% dari peruntukan yang disediakan pada tahun 2010. Yayasan Pahang akan menaja Program Kemahiran (skill based) seperti perhotelan, komputer, automotif dan lain-lain yang dilaksanakan di IKIP Traning Sdn. Bhd dan program ini ternyata berkesan dan berjaya kerana ia memberi peluang kepada lepasan SPM mendapat kemahiran sesuai dan kemudian itu mendapat peluang pekerjaan di pasaran kerja.

72.    Mulai tahun 2011, Yayasan Pahang dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang akan menawarkan program meningkatkan kompetensi bakal-bakal graduan dari universiti di Mesir. Program yang disusun secara komprehensif ini merangkumi kemahiran berbahasa Inggeris, aplikasi ICT, keusahawanan, perakaunan dan pengurusan bagi meningkatkan peluang employability kerana kebanyakan mereka ini cuma mahir dalam pengajian Islam.

73.    Yayasan Pahang juga akan menyediakan peruntukan RM2 juta bagi pelaksanaan program-program kemasyarakatan dengan menyediakan bantuan kepada anak yatim, orang-orang tua serta daif dan sebanyak RM1 juta disediakan untuk Program Tamadun Orang Asli (PETAMA).

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,
               
74.    InsyaAllah Kerajaan Negeri akan terus menyelaraskan kegiatan yang ada kaitan dengan berbagai-bagai pembangunan masyarakat termasuklah hal ehwal wanita, belia, sukan dan lain-lain lagi. 

        SUKAN

75.    Saya ingin menyebutkan di sini bahawa dalam SUKMA Ke-13 baru-baru ini yang telah diadakan di Melaka, Negeri Pahang telah memenangi 32 pingat emas, 29 pingat perak dan 28 pingat gangsa serta menduduki tempat ke lapan pada keseluruhannya. Kita seharusnya memberikan penghargaan dan pujian kepada pasukan Negeri Pahang khususnya pasukan menembak yang telah berjaya memperolehi 15 pingat emas, 7 pingat  perak dan 2 pingat gangsa.

76.    Kerajaan juga tidak akan mengabaikan pertumbuhan seni budaya melalui misi pelancongan dan melalui kegiatan yang berkaitan dengan pelancongan. Elemen seni kebudayaan ini akan diketengahkan dan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa Tarian Labi-Labi dan Tarian Lesung Indik bagi masyarakat Melayu dan beberapa tarian yang lain dari masyarakat etnik yang lain juga akan diketengahkan.
 
Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

                BELIA

77.    Kerajaan Negeri bercadang untuk memberikan bajet khusus kepada kegiatan belia. InsyaAllah golongan belia termasuk mereka yang tidak mempunyai pekerjaan, termasuk mereka yang dikategorikan sebagai Mat Rempit akan diberikan perhatian dan Kerajaan Negeri, InsyaAllah akan engage golongan ini dan kita akan menyusun berbagai-bagai seminar, kursus, motivasi untuk mereka supaya mereka akan mempunyai pengetahuan dan juga cara pemikiran yang boleh membantu mereka menghadapi kehidupan dan mempunyai fikiran secara bijak dan juga rasional.

13.   PERUMAHAN, KESIHATAN, ORANG ASLI

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

                PERUMAHAN

78.    Mengenai perumahan saya ingin menyebutkan di sini bahawa Kerajaan Negeri secara bersendirian tidak mampu untuk menyediakan perumahan secukup bagi semua rakyat. Di dalam Ucapan Belanjawan 2011,       Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri pun dalam aspek perumahan ini telah menegaskan betapa pentingnya setiap rakyat memiliki rumah yang selesa dan dalam ucapan tersebut Perdana Menteri telah menyatakan di bawah Projek Program Perumahan Rakyat 79,000 unit akan disediakan; di bawah Projek Bantuan Sewa Rumah 8,000 unit akan disediakan; dan Kerajaan Negeri InsyaAllah akan menyelaraskan dari masa ke semasa tentang hal perumahan ini khususnya dalam menyediakan tapak-tapak perumahan yang sesuai. Kerajaan juga akan cuba menyakinkan Kerajaan Persekutuan tentang pentingnya projek perumahan yang tergendala termasuk projek perumahan swasta dipulihkan supaya lebih banyak perumahan dapat disediakan untuk rakyat di Negeri Pahang.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,
       
                KESIHATAN

79.    Berhubung dengan hal-hal seperti kesihatan dan Orang Asli, Kerajaan akan terus memberikan tumpuan dan perhatian termasuk dalam membuatkan perakuan kepada Kerajaan Persekutuan mengenai pembinaan hospital, klinik yang sesuai di Negeri Pahang ini.    DHGFHGGDDG FG
        ORANG ASLI

80.    Berhubung dengan masyarakat Orang Asli, Kerajaan Persekutuan seperti yang telah disebutkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam ucapan Bajetnya, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli akan dijadikan sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli. Negeri Pahang, InsyaAllah, akan meneruskan program-program termasuk juga dalam soal menyediakan kawasan-kawasan yang sesuai untuk dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit ataupun ladang getah dan kemudian itu sahamnya diberikan kepada Orang Asli.

81.    Hanya kerajaan ingin menasihatkan Orang-orang Asli supaya tidak dijadikan alat oleh pihak-pihak tertentu atau mereka sendiri memperalatkan diri mereka sendiri untuk membuat perkara-perkara yang salah di sisi undang-undang seperti meneroka tanah secara haram dan sebagainya. Apa yang patut mereka buat ialah mengadu hal kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu mereka.
 
14.   PENUTUP

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

82.    Sebagai penutup kepada ucapan Bajet ini, saya berharap kepada semua Ahli-Ahli Dewan, Ketua-ketua Jabatan supaya sentiasa mencari dan memahami matlamat gagasan, pendekatan yang cuba diketengahkan oleh   Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan dengan pelaksanaan Model Baru Ekonomi akan dapat memacu negara menjadi negara yang berpendapatan tinggi. Untuk itu di Negeri Pahang ini, kita semua mestilah memberikan kesungguhan dan komitmen serta keikhlasan yang tinggi bagi menjayakan segala program yang telah pun disusun oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Kita mestilah seharusnya lebih tertumpu ataupun lebih fokus dalam menjalankan tugas-tugas kita. Seharusnya kita juga perlu proaktif dalam mengambil tindakan yang boleh menyelesaikan masalah rakyat. 

83.    Pada ketika yang sama, kita mesti juga sentiasa memantau dan membuat penilaian sama ada usaha-usaha kita itu berjaya ataupun tidak mencapai matlamat.  Saya yakin dan percaya dengan adanya komitmen daripada semua Ahli-Ahli Dewan dan Ketua-ketua Jabatan, insyaAllah Negeri Pahang juga akan mencapai kemakmuran kerana ingatlah seperti yang saya sebutkan tadi, Negeri Pahang maju membangun, maka dengan sendirinya Negara juga maju dan membangun. Kalau Negara maju dan membangun, maka dengan sendirinya Negeri Pahang juga maju dan membangun dengan syarat ada kerjasama yang erat di antara kedua pihak dan ada kesepakatan, ada keseragaman pemikiran di antara kedua-dua pihak.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua, dengan doa dan harapan itu, saya mohon mencadangkan. 

WABILLAHI TAUFIK WALHIDAYAH WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

Comments

Popular posts from this blog

Prerogative of Mercy. Beg Your Pardon...

Ada terpandang video oleh Zaid Ibrahim tentang Pardon. Dia kata itu Prerogative of Mercy oleh Agong dan Raja2. High Prerogative of Mercy....or something like that lah. Itu betul. Tapi kalau nak kata process itu tidak ada procedure tak betul lah. Perlembagaan kita dan Akta Penjara telah tetapkan procedure nya. Agong & Raja2 juga perlu bertindak ikut Perlembagaan dan Undang2. Maka itu lah sebabnya digelar Raja Berperlembagaan. Dalam Perlembagaan ditetapkan mesti diadakan Pardons Board yang dipengerusikan oleh Tuanku sendiri. Antara lain Pardons Board itu akan bermesyuarat, pertimbangkan Petisyen yang dikemukakan, dapatkan nasihat dan pandangan ahli Pardons Board itu dan minta nasihat dan pandangan dari Peguam Negara. Bukan macam cerita filem purba. Bukan macam cerita Sultan Melaka ampunkan Hang Tuah untuk tujuan suruh bertikam dengan Hang Jebat. Bukan sebab Sultan Melaka menyesal tersalah hukum Hang Tuah. Bukan ampunkan Hang Tuah sebab Hang Jebat handal sangat dan hanya Hang Tuah sah...

Setiausaha Politik selama 18 tahun (2000-2018)

Apabila YB Dato' Adnan Yaakob dilantik sebagai Menteri Besar Pahang, beliau telefon saya bertanya samada saya hendak tak datang ke Kuantan bekerja dengan dia. "Sam, Long ingat elok awak berubah angin. Mari datang Kuantan kerja dengan Long". Begitu lah kata-kata beliau. Kebetulan tahun 1999 itu saya kurang betul menumpukan perhatian kepada kerja-kerja sebagai lawyer. Anak saya baru meninggal pada 20hb August 1998. Dato' Adnan dilantik sebagai MB pada 25hb Mei 1999. "Come lah work with me. We see how I can place you in the MB's Office" Begitu lah Long Nan beritahu saya. "Boleh lah Long. Setahun dua boleh kot. I like myself more as lawyer, Long...." "OK...mari lah setahun dua" Itu jawab Dato' Adnan. "Tapi Long tak boleh lah bagi awak gaji besar Sam...." Sambung Dato' Adnan. "Kita tengok lah mana yang sesuai". Tambah beliau. Pada mulanya sejak bulan Mei 1999 itu saya hanya berulang alik KL-Kuantan. Tujuan...

Melayu Ada Kelas Ke? (Bab 2)

Prodigal Maestro membawa ingatan saya ke tahun 1985. Pada tahun itu saya memulakan karier sebagai seorang lawyer setelah letak jawatan dari Judicial & Legal Service. Saya berkenalan dengan Dato' Mohd Ariff Ibrahim (DMA). Beliau seorang akauntan dengan Hanafiah Raslan Mohamad (HRM). Di HRM saya juga kenal Hassan Merican, Toby Lam dan lain-lain. Itu pun kerana saya dengan legal firm Messrs. Gill & Tang dan PS Gill adalah rakan kongsi saya. PS Gill adalah bapa kepada Asha Gill. Ya... Asha Gill dalam Astro tu! DMA adalah orang Kelantan dan isteri beliau Tengku Fatihah Ibni Sultan Ibrahim (Ku Ah) saudara kepada Sultanah Johor dan juga Raja Permaisuri Perlis. Saya terpegun dengan kereta Rolls Royce mereka nombor plat DA 3 (Dato' Ariff 3). Kalau tidak silap hanya ada 9 lagi Rolls Royce yang dimiliki oleh orang Melayu selain dari yang dimiliki oleh Sultan, Raja dan Yang DiPertuan Negeri. Raslan tidak minat Rolls Royce dan lebih gemar kepada Porche (atau Ferrari...saya dah tak i...