Skip to main content

Pahang’ s Budget 2009

UCAPAN BAJET TAHUN 2009 YAB MENTERI BESAR PAHANG

ASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH. BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.
Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,


1. PENDAHULUAN


1. Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanu Wata'ala kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya pada pagi ini kita dapat bersama-sama hadir di Dewan yang mulia ini. Saya pula dapat membentangkan Bajet Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 2009 sempena Persidangan Keempat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pahang yang Kedua Belas.

Saya mohon mencadangkan bahawa satu Rang Undang-Undang yang dinamakan:

"Suatu Enakmen Bagi Mengeluarkan Sejumlah Wang Daripada Kumpulan Wang Disatukan Untuk Perkhidmatan Tahun 2009 Dan Bagi Memperuntukkan Wang Tersebut Untuk Maksud-Maksud Tertentu"
dibaca bagi kali kedua.


Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

2. SENARIO EKONOMI GLOBAL.


2. Keadaan ekonomi global pada umumnya bergantung kepada dua faktor utama: pertama, harga minyak mentah; kedua, sistem kewangan Amerika Syarikat, kuasa ekonomi terbesar dunia.


3. Harga minyak mentah dunia telah naik melambung sejak tempoh separuh kedua tahun 2007 sehingga melebihi paras USD 100 dolar setong dan pada 3 Julai 2008 minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) telah mencecah harga tertinggi iaitu USD145.3 dolar setong. Ianya berlaku bukan sangat kerana faktor permintaan dan penawaran tetapi lebih kerana faktor spekulasi terutamanya elemen pasaran hadapan (forward trading).


4. Pada hari ini harga minyak mentah berada di paras USD 60 dolar setong dan dijangka berkisar di sekitar USD 70 dolar setong untuk tahun ini. Kenaikan harga minyak mentah ini telah memberi kesan kepada ekonomi dunia kerana ianya menyebabkan peningkatan kos.


5. Ledakan krisis kewangan di Amerika dan Eropah disebabkan ketidakstabilan produk kewangan inovatif yang kompleks pasti memberi kesan kepada ekonomi dunia termasuk Malaysia. Syarikat sekuriti Amerika Merill Lynch dan Lehman Brothers dan syarikat gergasi insurans American International Group (AIG) telah gulung tikar.


6. Kerajaan Amerika terpaksa melaksanakan langkah menyelamatkan (bail-out), sesuatu yang pernah dibuat oleh Malaysia semasa krisis kewangan 1997-1998 dahulu dan dikecam oleh IMF dan oleh Amerika tetapi kini dibuat oleh Amerika sendiri.


Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,


3. KEDUDUKAN EKONOMI MALAYSIA.


7. Kerajaan Persekutuan sentiasa memantau rapi perkembangan ekonomi global yang bercelaru dan ketidaktentuan akibat kenaikan harga minyak mentah, risiko perubahan mendadak pasaran kewangan dan tekanan inflasi.


8. Kerajaan Persekutuan telah mengambil tindakan responsive, pragmatik dan proaktif untuk menangani keadaan yang tidak menentu ini dengan tepat dan wajar.


9. Dasar, kawalselia dan langkah berhemah Kerajaan menjadikan asas kewangan negara kekal kukuh. Jumlah tabungan negara berada pada paras 37 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), satu paras yang tinggi. Ini bererti negara mempunyai lebihan mudah tunai yang boleh digunakan untuk menjana kegiatan ekonomi. Sektor perbankan kekal kukuh dengan Hutang Tak Berbayar (Non-Performing Loans - NPL) berada paras yang rendah, 2.5 peratus. Permodalan institusi perbankan yang diukur dari segi nisbah modal berwajaran risiko (Risk Weighted Capital Ratio - RWCR) pula pada paras 13.2 peratus, melebihi paras 8 peratus dalam piawaian Basel, piawaian antarabangsa.


10. Kenaikan harga minyak mentah dunia telah memberi impak kepada harga minyak di Malaysia. Kerajaan terpaksa menaikkan harga minyak dan disel pada 5 Jun yang lalu. Walau bagaimanapun sehingga 1 November 2008, Kerajaan telah menurunkan semula harga minyak dan disel sebanyak 3 kali bersesuaian dengan harga minyak mentah dunia yang turun.


11. Kerajaan dijangka menurunkan lagi harga minyak dan disel dalam masa terdekat. Sekadar menyebut satu contoh, sehingga 5 Jun 2008, harga minyak Jenis RON 97 ialah RM1.92 seliter. Pada 5 Jun 2008 Kerajaan terpaksa menaikkannya kepada RM 2.70 sen seliter. Pada hari ini, setelah 3 kali penurunan, ianya berharga RM2.15 sen, iaitu cuma 23 sen lebih dari harga asal, harga sebelum 5 Jun.


12. Akibat naik turun harga minyak dan disel ini harga barangan harian turut meningkat naik dan menambah beban rakyat. Masalahnya ialah apabila harga minyak naik, harga barangan naik tetapi apabila harga minyak turun, harga barangan tidak turun.


Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua,


4. PRESTASI EKONOMI NEGERI TAHUN 2008


13. Pada awal tahun 2008, Kerajaan Negeri menjangkakan pertumbuhan ekonomi negeri boleh berkembang sebanyak 4.8 peratus, iaitu 0.5 peratus lebih rendah dari angka tahun 2007. Kenaikan harga minyak dan krisis kewangan di Amerika Syarikat dan Eropah telah mengurangkan ekspot barangan dari Malaysia, termasuk dari Negeri Pahang ke negara-negara berkenaan.


14. Akibatnya harga barangan komoditi minyak kelapa sawit dan getah telah merudum. Kerajaan menjangkakan pertumbuhan ekonomi juga akan lebih rendah dari 4 peratus, mungkin ikut menurun kepada 3 peratus sebagaimana angka pertumbuhan ekonomi negara yang dikaji semula.


15. Sektor pertanian akan tumbuh pada paras yang lebih rendah; tetapi ia akan terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi dalam negeri. Kerajaan akan terus menumpukan membangunkan sektor ini kerana Negeri Pahang mempunyai kelebihan dalam sektor ini.

16. Keluasan tanah boleh guna untuk pembangunan, secara relatif masih luas dan kesan berganda dalam pembangunan sektor ini akan memberikan manfaat kepada sebahagian besar rakyat yang terdiri dari masyarakat luar bandar.


17. Sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan kian berkembang dan keduanya boleh memoden dan mempelbagaikan kegiatan ekonomi negeri. Sumbangan sektor perkhidmatan kepada KDNK Negeri adalah sebanyak 58.9 peratus dan sumbangan sektor pembuatan adalah sebanyak 22.63 peratus.


18. Pelaksanaan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (East Coast Economic Region - ECER) akan mempercepatkan proses pembangunan negeri menerusi pelaksanaan projek berimpak tinggi dalam bidang pertanian (termasuk penternakan dan perikanan); dalam bidang pembuatan berteknologi tinggi yang berasaskan sumber pertanian. Penyediaan kemudahan infrastruktur menjadi pelengkap kepada projek di bawah pelaksanaan ECER.


19. Saya berasa sedih kerana mendapat tahu peruntukan di bawah ECER ini akan dipotong di bawah Kajian Separuh Penggal RMKe 9 memandangkan suasana ekonomi semasa tetapi saya percaya ianya tidaklah akan diabaikan langsung. Projek yang penting dan berimpak tinggi sewajarnya mesti terus dilaksanakan.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,


5. PRESTASI KEWANGAN NEGERI TAHUN 2008


20. Sehingga 31 Ogos 2008, Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip RM 343.34 juta berbanding dengan sasaran hasil sebanyak RM 441.04 juta, iaitu pencapaian 73 peratus. Dalam tempoh yang sama, Perbelanjaan Mengurus yang telah dibelanjakan ialah RM 237.74 juta dari jumlah yang telah ditetapkan sebanyak RM 422.91 juta, iaitu pencapaian 44.98 peratus.


21. Dalam tempoh yang sama, sebanyak RM 24.09 juta telah dibelanjakan melaksanakan projek-projek pembangunan negeri dari peruntukan yang disediakan sebanyak RM 62.47 juta, pencapaian 38.56 peratus, agak rendah. Bagi perbelanjaan Bekalan Air pula, sebanyak RM 159.18 telah dibelanjakan dari peruntukan RM 298.57 juta, pencapaian 53.31 peratus.


22. Sehingga bulan Ogos 2008, Kerajaan mempunyai lebihan pendapatan RM 110.60 juta berbanding Perbelanjaan Mengurus. Namun Kerajaan Negeri terpaksa membayar bonus satu bulan gaji kepada kakitangan kerajaan berikutan pengumuman Kerajaan Persekutuan mengenainya serta menanggung kenaikan harga bahan bakar dan tarif elektrik mulai pertengahan tahun 2008. Oleh yang demikian, Perbelanjaan Mengurus dijangka meningkat dengan banyak pada akhir tahun ini.


23. Sehingga Ogos 2008, Kumpulan Wang Bekalan Air mengalami defisit sebanyak RM109.72 juta kerana terimaan melalui pinjaman dari Kerajaan Persekutuan cuma diperolehi sebanyak RM49.43 juta sedangkan perbelanjaan yang telah dibuat menggunakan peruntukan negeri adalah sebanyak RM159.18 juta. Sebagaimana biasa, defisit ini akan berkurangan apabila sampai akhir tahun setelah Kerajaan Persekutuan mengeluarkan pinjaman kepada Kerajaan Negeri bagi membiayai projek bekalan air.


Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,


6. BAJET NEGERI TAHUN 2009.


24. Saya ingin memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini bahawa hasil pada tahun 2009 dijangka sebanyak RM461.86 juta berbanding dengan hasil tahun 2008 sebanyak RM467.04 juta, kurang sebanyak RM5.18 juta. Perbelanjaan Mengurus tahun 2009 adalah sebanyak RM560.47 juta berbanding dengan tahun 2008 sebanyak RM517.40 juta, meningkat sebanyak RM43.07 juta. Ini bermakna Bajet 2009 akan mengalami defisit sebanyak RM98.61 juta berbanding dengan defisit tahun 2008 sebanyak RM50.36 juta, meningkat sebanyak RM48.25 juta.


25. Perbelanjaan Mengurus meningkat tinggi pada tahun 2009 kerana menampung kenaikan gaji dan elaun kakitangan kerajaan negeri di samping meneruskan usaha menambah kecekapan jentera pelaksanaan di peringkat dasar melalui penstrukturan semula perjawatan dan penambahan kakitangan. Kenaikan tarif elektrik dan kenaikan harga minyak juga menyebabkan Perbelanjaan Mengurus meningkat.


26. Perbelanjaan Pembangunan dan Bekalan Air meningkat sebanyak RM99.53 juta dari tahun 2008. Pendapatan dari hasil air dijangka merosot banyak sekiranya Jabatan Bekalan Air dikorporatkan pada tahun 2009. Hasil air tahun 2009 dijangka sebanyak RM116.15 juta. Kerajaan mungkin mengalami kehilangan hasil daripada air lebih dari RM116 juta disamping kerajaan juga telah bersetuju memberikan suntikan modal sebanyak RM50 juta setahun selama 3 tahun permulaan operasinya.


27. Pengkorporatan Jabatan Bekalan Air perlu untuk meningkatkan kecekapan pengurusan bekalan air termasuk meningkatkan sistem bekalan dan mencekapkan kutipan hasil.


28. Bajet tahun 2009 akan memastikan perkara berikut dilaksanakan:

  1. Jentera pelaksanaan mesti menjadi lebih cekap bagi mengutip hasil yang wajib dibayar kepada Kerajaan.
  2. Kawalan perbelanjaan akan dibuat lebih ketat lagi.
  3. Pengurusan kewangan mesti dilaksana secara berhemat untuk mengelak defisit lebih besar.
iv. Perbelanjaan yang nampak mewah dan yang tidak memberikan impak kepada Kerajaan dan rakyat akan dihentikan.
v. Pemberian geran kepada agensi-agensi Kerajaan akan dikaji semula, besar kemungkinan diberhentikan terus kecuali dalam keadaan yang sangat perlu.


vi. Kutipan hasil tertunggak akan dibuat secara lebih agresif.


29. Saya tidak ingin menyentuh panjang lebar tentang usaha mencari punca hasil baru Kerajaan kerana perkara ini telah disebut sejak bertahun-tahun, sejak saya mula terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri lagi, tetapi tidak berhasil. Kerajaan tidak boleh menaikkan sewenang-wenang cukai tanah dan tarif air kerana ini akan membebankan rakyat. Pada ketika yang sama wang diperlukan untuk mentadbir dan mengurus negeri.


30. Namun begitu, Kerajaan berusaha sedaya upaya untuk menceburkan diri melabur dalam bidang Teknologi Komunikasi dan Maklumat (Information and Communication Technology - ICT). Kerajaan Negeri melalui agensinya Pahang Technology Resources (PTR) telah cuba mendapatkan sebahagian daripada kerja-kerja melaksanakan projek High Speed Broadband (HSBB).


31. Usaha yang lebih agresif sedang dijalankan supaya hasrat Kerajaan ini tercapai. Namun ini hanya boleh menjadi kenyataan jika ada kerjasama daripada Kerajaan Persekutuan. Saya percaya dan yakin Kerajaan Persekutuan akan memberikan bantuan sepenuhnya. Kita telah pun menjalinkan hubungan dengan rakan kongsi tempatan dan luar negara yang punyai dana yang besar dan kepakaran yang tinggi.


32. PTR tidak berniat bersaing dengan Telekom Malaysia (TM) tetapi melengkapi apa yang TM laksanakan. Volume pasaran dan pengguna bidang ini sangat besar dan memang wajar dikongsi.


33. Marilah sama-sama kita berdoa ke hadrat Allah supaya usaha ini berjaya. Jika usaha ini tidak berjaya kita boleh ucapkan Selamat Tinggal kepada usaha mencari punca hasil baru untuk negeri. Kerajaan Negeri tidak bercadang dan tidak tergamak menjual, menggadai dan mengusahakan sewenang-wenangnya tanah yang masih ada sedikit sebanyak di Negeri ini kerana generasi yang akan datang perlu mewarisi apa yang ada di Negeri yang bertuah ini.


Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,


34. Saya mohon mencadangkan bahawa sejumlah RM925.27 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan tahun 2009; RM560.47 juta untuk Perbelanjaan Mengurus dan RM364.40 juta untuk Perbelanjaan Pembangunan. Bajet Tahun 2009 masih dalam keadaan defisit iaitu sebanyak RM98.61 juta, meningkat sebanyak RM48.25 juta dari Bajet 2008.


Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,


7. ANGGARAN HASIL


35. Pada tahun 2009 Kerajaan mensasarkan hasil sebanyak RM461.86 juta sahaja, kurang sebanyak RM5.18 juta dari tahun 2008. Kerajaan menjangka kemampuan rakyat membayar cukai menurun kerana kenaikan kos sara hidup akibat kenaikan harga minyak dan harga bahan makanan.


36. Jumlah tersebut cuma mampu menampung Perbelanjaan Mengurus (tanpa caruman) untuk tahun 2009 dengan sedikit lebihan iaitu sebanyak RM36.77 juta. Jika sekiranya berlaku lagi pemberian imbuhan kepada kakitangan Kerajaan pada tahun 2009 nanti dan berlaku kenaikan kos pengurusan disebabkan kenaikan harga minyak dan tarif elektrik maka lebihan tersebut sudah tentu menjadi semakin kecil.


37. Pada tahun 2009 hasil daripada sumber air dianggarkan sebanyak RM116.15 juta iaitu 24.93% dari keseluruhan kutipan hasil. Sekiranya pengkorporatan Jabatan Bekalan Air menjadi kenyataan hasil Kerajaan Negeri semakin menjadi kurang.


38. Punca hasil tradisi Negeri ialah dari Tanah, Air dan Hutan. Pendapatan juga diperolehi dari sumber geran Kerajaan Persekutuan dan lain-lain sumber; untuk tahun 2009 sebanyak RM106.17 juta.


39. Secara ringkas pada tahun 2009, RM161.69 juta diperolehi dari hasil tanah dan galian; RM116.55 juta dari hasil air; RM77.85 juta dari hasil perhutanan; RM56.31 juta dari geran Kerajaan Persekutuan dan RM49.86 juta dari lain-lain sumber hasil.


Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,


8. ANGGARAN PERBELANJAAN TAHUN 2009


40. Dari jumlah peruntukan sebanyak RM925.27 juta yang dipohon dari Dewan yang mulia ini, sebanyak RM560.47 juta adalah dicadangkan untuk Perbelanjaan Mengurus, iaitu 61 peratus dari keseluruhan Bajet 2009.


41. Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM560.47 juta ini melebihi hasil yang dijangka dapat dikutip sebanyak RM461.86 juta. Seperti yang saya sebutkan sebentar tadi Bajet 2009 akan mengalami defisit sebanyak RM98.61 juta.


42. Peruntukan Pembangunan dicadangkan sebanyak RM364.80 juta, iaitu 39 peratus dari keseluruhan Bajet 2009.


43. Perbelanjaan Mengurus bertambah sebanyak RM49.50 juta dari tahun 2008 disebabkan pembayaran imbuhan kakitangan Kerajaan dan peningkatan kos minyak dan tarif lektrik seperti yang telah saya sebutkan sebentar tadi.


44. Dari Perbelanjaan Pembangunan yang dicadangkan sebanyak RM364.80 juta, sebanyak RM185.49 juta adalah peruntukan yang diperolehi dari punca dalam negeri sementara yang selebihnya sebanyak RM179.31 juta adalah pinjaman dari Kerajaan Persekutuan bagi membiayai projek bekalan air. Perbelanjaan Pembangunan kurang RM17.94 juta dari tahun 2008.


Yang Berhormat Tuan Yang Di Pertua,


9. ANGGARAN PERBELANJAAN MENGURUS TAHUN 2009


45. Peruntukan Perbelanjaan Mengurus adalah untuk Emolumen (RM233.56 juta); untuk Perkhidmatan dan Bekalan (RM121.92 juta); untuk Kenaan dan Bayaran Tetap (RM195.00 juta); untuk Aset (RM9.47 juta); untuk Perbelanjaan Lain (RM0.52 juta); Caruman Kumpulan Wang Pembangunan (RM135.39 juta); untuk Batas Perbelanjaan (RM371.31 juta); untuk Dasar Baru (RM10.36 juta); untuk Tanggungan (RM19.23 juta); dan untuk One-Off (RM24.18 juta).


46. Jumlah Perbelanjaan Mengurus tahun 2009 bertambah sebanyak RM43.07 juta dari Perbelanjaan Mengurus tahun 2008.


Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,


10. ANGGARAN PERBELANJAAN PEMBANGUNAN


47. Dari RM364.80 juta Perbelanjaan Pembangunan bagi tahun 2009, RM185.49 juta adalah dari sumber dalam negeri dan RM179.31 juta dari Pinjaman Kerajaan Persekutuan untuk projek bekalan air. Dari RM185.49 juta itu, pecahan peruntukan adalah untuk Jabatan Bekalan Air (RM96.58 juta); Jabatan Kerja Raya (RM20.80 juta); Jabatan Ugama Islam (RM19.25 juta); Pejabat Pembangunan Negeri (RM14.00 juta); Pejabat Setiausaha Kerajaan (RM12.12 juta); dan pejabat-pejabat lain (RM22.74 juta).


48. Peruntukan Perbelanjaan Pembangunan RM185.49 juta dari sumber dalam negeri itu datangnya dari: Caruman Daripada Hasil Disatukan (RM135.39 juta); Pemberian Tahap Pembangunan Dari Kerajaan Persekutuan (RM22.96 juta); Pemberian Pertambahan Hasil Bahagian II Dari Kerajaan Persekutuan (RM13 juta); Terimaan Sewaan Perumahan Kos Rendah (RM11.00 juta); dan Jualan Perumahan Kos Rendah (RM3.15 juta).


49. Hampir keseluruhan Peruntukan Pembangunan dari sumber dalam negeri adalah bagi meneruskan projek infrastruktur dan utiliti, khususnya bekalan air, untuk keselesaan rakyat. Peruntukan Pembangunan pinjaman dari Kerajaan Persekutuan untuk projek bekalan air digunakan untuk membiayai projek sambungan.


11. BEKALAN AIR


50. Dalam tempoh Rancangan Malaysia ke 9 sebanyak RM687 juta dijangka akan dibelanjakan bagi pembangunan bekalan air melibatkan 10 projek bekalan air di samping melaksanakan projek baru. Kerajaan akan berusaha secara berterusan menaiktaraf dan membaikpulih sistem bekalan air sedia ada supaya ianya lebih cekap bagi mengurangkan kejadian gangguan bekalan air. Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM85 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke 9 bagi membaikpulih dan mengganti komponen yang telah lama di bawah program menaiktaraf loji sedia ada supaya bekalan air tidak terganggu.


51. Dalam tahun 2009, sebanyak RM 35.9 juta diperuntukkan bagi menggantikan paip-paip lama kerana sebahagian besar darinya telah melampaui jangka hayat. Penggunaan paip-paip lama ini tidak mampu menahan tekanan air yang kuat dan mengakibatkan paip selalu pecah. Ini bukan sahaja mengakibatkan air tidak berhasil tetapi yang menyedihkan ianya menganggu bekalan air kepada pengguna.


52. Agak sulit bagi kita kerana perbelanjaan atau kos mengganti paip-paip lama sangat tinggi sedangkan peruntukan yang mampu disediakan oleh Kerajaan Negeri sangat terhad. Di sinilah penting Kerajaan Persekutuan wajib membantu Kerajaan Negeri terus menerus bagi mengatasi masalah bekalan air di Negeri Pahang, tambahan pula sebahagian besar daripada rakyat Negeri Pahang tidak pernah lari dari terus menyokong Kerajaan yang sedia ada sejak dari Merdeka sehingga sekarang.


Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,


12. PERHUTANAN

53. Sehingga hari ini Kerajaan Negeri telah berjaya mengekalkan kawasan berhutan seluas 1.981 juta hektar iaitu 55.09% dari keluasan Negeri Pahang. Ini kerana kawasan berhutan ini semestinya meliputi Rizab Taman Negara, Kawasan Tadahan Air, Rizab Hutan Paya Gambut, Rizab Hidupan Liar, Rizab Hutan Lipur, Rizab Sungai dan Rizab Tasik. Sehingga hari ini seluas 1,409,997.9 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal. Seluas 74,120.50 hektar lagi akan diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal.

54. Kerajaan Negeri akan sedaya upaya terus memelihara dan menguruskan khazanah hutan secara sistematik dan mapan bukan sahaja kerana ianya perlu untuk generasi yang akan datang tetapi yang lebih penting lagi untuk menjamin bekalan air yang berkekalan kerana volume air yang terdapat di sesebuah sungai itu bergantung kepada kawasan hutan yang terdapat di sebelah hulunya.


55. Kerajaan Negeri akan mengenakan syarat kepada kontraktor pembalakan melaksanakan kaedah pembalakan secara Reduced Impact Logging (RIL). Kaedah ini boleh meminimakan kadar kerosakan kepada kawasan hutan yang sedang dibalak. Jabatan Perhutanan Negeri akan mengambil langkah-langkah perlu memastikan syarat ini dikuatkuasakan.


56. Hutan Simpan Kekal akan diuruskan dengan ketat bagi mematuhi Kriteria dan Petunjuk Untuk Pensijilan Pengurusan Hutan di Malaysia [MC&I (2002]. Kerajaan Negeri akan terus menjaga khazanah hutan dengan melipatgandakan usaha memantau dan menguatkuasakan undang-undang mencegah kegiatan pencerobohan hutan. Kerajaan Negeri juga akan meningkatkan kecekapan pemprosesan taksiran dan kutipan cukai melalui sistem kutipan hasil secara berkomputer.


Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,


13. MINERAL


57. Kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala kerana Negeri Pahang kaya dengan sumber mineral seperti bijih besi, emas dan sebagainya. Oleh sebab sumber mineral boleh menambah hasil negeri, Kerajaan telah menguatkuasakan pemakaian Enakmen Mineral 2001 dan Peraturan-Peraturan Mineral 2005. Peraturan-peraturan ini diwujudkan bagi memastikan pengurusan dalam hal ehwal perlombongan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan lebih berkesan.


58. Sehingga Julai 2008 pungutan hasil royalti yang dikenakan ke atas mineral yang dilombong ialah sebanyak RM7.4 juta berbanding dengan sebanyak RM5.5 juta dalam tempoh sama tahun 2007, iaitu meningkat sebanyak 13%. Harga bijih besi pernah meningkat di pasaran dan telah mempengaruhi jumlah permohonan lesen atau pajakan melombong besi sehingga 102 permohonan. Sehingga Ogos 2008 sebanyak 25 permohonan telah diluluskan. Pada hari ini harga mineral di pasaran dunia telah beransur turun.


59. Kenaikan harga bahan mineral di pasaran telah mendorong kejadian pencerobohan tanah Kerajaan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.


60. Sehingga Julai 2008 sebanyak 26 kes kesalahan di bawah Seksyen 425 (pencerobohan tanah kerajaan) dan 81 kes di bawah Seksyen 416 (pengalihan bahan-bahan batuan) dan 11 aktiviti perlombongan haram telah dilaporkan.


61. Semua kegiatan ini telah menyebabkan Kerajaan hilang hasil dalam bentuk cukai tanah, permit mengangkut bahan-bahan batuan, dan bayaran royalti bahan mineral. Kerajaan akan mengambil tindakan tegas termasuk mendakwa di mahkamah selain daripada mengenakan kompaun kepada mereka yang terlibat dalam kegiatan pencerobohan ini.


62. Kerajaan akan memberikan tumpuan kepada sektor perlombongan. Sehingga kini sebanyak 7 projek perlombongan di kawasan seluas 5,520 ekar sedang beroperasi dan ianya menyumbang hasil kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM13.88 juta.


14. TANAH


63. Walaupun Negeri Pahang mempunyai keluasan 3.6 juta hektar, namun tanah yang boleh dibangunkan adalah sekadar 7 hingga 8 peratus sahaja, lebih kurang 250 ribu hektar. Permohonan tanah yang tertunggak berjumlah di sekitar 55 ribu permohonan.


64. Jika sekiranya Kerajaan melupuskan 5 hektar kepada seorang pemohon, pada hari ini Negeri Pahang Darul Makmur tidak lagi mempunyai tanah yang boleh dibangunkan termasuk tidak ada lagi tanah yang boleh diwarisi oleh generasi yang akan datang.


65. Kita harus ingat bahawa Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur membuat sumbangan besar kepada negara kerana kita merizabkan tanah untuk Rizab Taman Negara, Kawasan Tadahan Air, Rizab Hutan Paya Gambut, Rizab Hidupan Liar, Rizab Hutan Lipur, Rizab Sungai dan Rizab Tasik dan lain-lain rizab dan Hutan Lindungan.


66. Kawasan Tadahan Air sebagai contoh juga membekalkan air ke sungai-sungai di negeri-negeri jiran. Secara logiknya Kerajaan Negeri Pahang sebagai negeri terbesar di Semenanjung dan membuat sumbangan terbesar kepada negara tetapi tidak dapat dilihat dengan nyata, sepatutnya dan sewajarnya layak menerima lebih banyak lagi bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.


67. Pelupusan tanah akan dibuat secara lebih terancang dan lebih sistematik berdasarkan kepada kepentingan Kerajaan dan bukan lagi kepada kepentingan individu. Ini bermakna hanya mereka yang memerlukan tanah sahaja akan diberikan pertimbangan untuk pelupusan dan pemberian hakmilik.


68. Pentadbiran Tanah Negeri akan bekerjasama dengan Agensi Remote Sensing Malaysia dan Pusat Infrastruktur Negara (MaCGDI) untuk membangunkan Sistem Pemantauan Tanah Tinggi untuk memantau kegiatan pembangunan tanah tinggi seperti di Cameron Highlands bagi mengelakkan pencerobohan tanah Kerajaan.


69. Pada tahun 2009, Kerajaan akan menumpukan kepada pengeluaran hakmilik strata dengan mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Pecah Bahagi Tanah Bangunan. Para pemaju perumahan digalakkan memohon hakmilik strata bagi memudahkan urusan pemilikan petak-petak oleh pembeli. Sistem penyampaian hakmilik strata ini akan dipertingkatkan dengan penggunaan Sistem Pengkomputeran Hakmilik Strata.


Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,


15. PERINDUSTRIAN


70. Kerajaan Negeri akan terus membangunkan sektor perindustrian dari masa ke semasa tambahan pula pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mensasarkan Pahang sebagai hab perindustrian, pembuatan dan logistik. Kerajaan akan menyusun semula strategi pembangunan yang memberikan penumpuan kepada aktiviti yang boleh menjana kegiatan ekonomi yang lebih pesat lagi.


71. Kerajaan akan memberikan keutamaan kepada pertumbuhan industri-industri kecil dan sederhana di kawasan yang berpotensi. Pada tahun 2009 sebanyak RM9.7 juta diperuntukkan bagi menyediakan infrastruktur asas di Pahang Halal Park di Gambang dan kawasan perindustrian Gebeng. Sebanyak RM6.33 juta diperuntukkan bagi menaiktaraf kawasan perindustrian Kechau Tui di Lipis dan kawasan perindustrian di Gebeng.


72. Seluas 25 ekar di Taman Teknologi Gambang, Kuantan telah disediakan untuk dibangunkan kompleks makanan halal di Kuantan. Ianya dijangka mula beroperasi pada akhir tahun 2009. Pembangunan di kawasan Gambang akan menjadi lebih rancak lagi apabila pembangunan Taman Bioteknologi Pahang (Pahang Biotechnology Park) seluas 621.4 ekar dan Taman Teknologi Gambang seluas 62.20 ekar siap dibangunkan.


73. Kawasan perindustrian Gebeng yang telah dizonkan sebagai kluster kimia dan petrokimia di bawah ECER semakin mendapat perhatian pengilang-pengilang terutama yang terlibat dengan aktiviti petrokimia dan 'oil and gas'. Setakat hari ini sebanyak 113 projek telah ditempatkan di Gebeng dengan jumlah pelaburan sebanyak RM 14.63 bilion; pelaburan asing RM 8.41 bilion dan pelaburan tempatan RM 6.22 bilion. Jumlah peluang pekerjaan yang telah dapat disediakan adalah sebanyak 11,361 orang.


Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,


16. PERTANIAN DAN ASAS TANI


74. Pembangunan sektor pertanian akan menumpukan kepada usaha-usaha meningkatkan pendapatan petani sekaligus membasmi kemiskinan khususnya di kawasan luar bandar. Kerajaan akan mengembelengkan semua sumber pertanian yang ada untuk memodenkan sektor pertanian melalui mekanisasi perladangan dan pembuatan secara komersil bagi melahirkan usahawan tani.


75. Para petani akan dilibatkan dalam semua program dan aktiviti pertanian yang dijalankan oleh agensi-agensi pertanian supaya mereka mendapat manfaat dari usaha pengkomersilan sektor pertanian. Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang diperkenalkan beberapa tahun dahulu telah menampakkan kesan positif apabila ianya berjaya melahirkan golongan usahawan tani yang tulen dan berdaya maju.


76. Kerajaan Negeri berharap Kementerian Pertanian dan Asas Tani akan bersetuju menjadikan daerah Pekan dan daerah Rompin sebagai Kawasan Jelapang Padi supaya ianya menjadi pemangkin kepada pengeluaran hasil padi di Negeri Pahang.


77. Perancangan sektor pertanian pada masa hadapan akan ditumpukan kepada :-


i. Meningkatkan pengeluaran hasil buah-buahan kepada 300,000 matrik tan setahun dengan nilai pasaran sebanyak RM290 juta.


ii. Meningkatkan pengeluaran dan pendapatan penanam-penanam sayur khususnya di kalangan belia dengan menggunakan teknologi pertanian moden.


iii. Menambah keluasan kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) kepada 5,000 hektar dan 1,800 hektar daripadanya dikhaskan untuk usahawan-usahawan tani.


iv. Melahirkan seramai 300 usahawan asas tani dengan nilai pengeluaran RM17.82 juta setahun melalui Akademi Usahawan Tani di Maran apabila beroperasi nanti.


v. Memperkukuhkan infrastruktur ICT di peringkat daerah bagi manfaat para petani menyertai pemasaran 'agri bazar' di dalam dan di luar negara.


vi. Meningkatkan pengeluaran bahan mentah herba bagi menyokong pertumbuhan industri bioteknologi.


vii. Menyediakan khidmat nasihat Phytosanitation kepada para penanam bunga di Cameron Highlands bagi menjamin mutu pengeluaran.


Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,


Subsektor Ternakan


78. Pada masa hadapan subsektor ternakan dirancang untuk dibangunkan dengan mewujudkan industri tambah nilai ternakan secara komersil dan berskala besar. Kawasan ternakan yang berpotensi untuk dimajukan secara komersil yang terdapat di daerah Rompin dan di daerah Maran akan dirangkaikan dengan projek halal hab di Gambang.


79. Projek Ladang Satelit Sungai Marong, Rompin sedang dibangunkan untuk menambah pengeluaran daging lembu. 7 orang pengusaha ternakan telah dikenalpasti menternak sebanyak 6,300 lembu fidlot. 233 orang penternak lembu yang aktif menternak secara integrasi dalam tanaman kelapa sawit berjaya mempunyai ternakan sebanyak 140,000 (satu ratus empat puluh ribu) ekor.


80. Kerajaan juga menggalakkan penglibatan aktif pihak swasta dalam industri tenusu. Syarikat First Dairy Farm di Muadzam, Rompin yang menggunakan teknologi terkini dalam pemprosesan tenusu dari baka lembu Jersey menternak sebanyak 1,200 ekor lembu tenusu yang dijangka mampu mengeluarkan lebih dari 16 ribu liter susu sehari.


81. Subsektor ternakan telah mencatitkan pertumbuhan yang memberangsangkan dengan nilai sebanyak RM360.34 juta setahun.


Perikanan


82. Dalam industri perikanan, fokus Kerajaan ialah membangunkan usahawan perikanan dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dalam industri perikanan dan yang lebih utama membasmi kemiskinan di kalangan nelayan. Tumpuan diberikan kepada meningkatkan hasil tangkapan, pengendalian selepas tuai, ternakan komersil, pemprosesan hasil perikanan dan penjenamaan yang baik untuk pasaran.


83. Kerajaan akan menggalakkan pelabor-pelabor menceburi kegiatan akuakultur dan pengilangan hasil ikan di samping memperhebatkan operasi tangkapan ikan di laut dalam dan laut luas. Langkah ini akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan dalam industri perikanan.


84. Kerajaan akan berusaha meningkatkan pendapatan nelayan, jika boleh, kepada RM3,000 seorang sebulan melalui projek kelompok perikanan akuakultur secara komersil di samping memproses hasil ikan.


Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,


17. UGAMA ISLAM

85. Ugama Islam akan terus diimarahkan dengan menambahbaik institusi masjid dan surau, meningkat kecekapan pegawai dan kakitangan Jabatan Ugama Islam, meningkatkan kegiatan penyebaran dan penerangan mengenai Islam, menarik serta pendakwah bebas yang berwibawa, menganjurkan lebih banyak Latihan dan Kursus untuk pendakwah, memperluaskan kegiatan dakwah dan tarbiyyah di kalangan generasi muda.

86. Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan melantik imam yang memiliki ijazah dari Pusat Pengajian Tinggi Ugama di semua masjid bertaraf Masjid Daerah.


87. Sekolah-sekolah Menengah Ugama Kerajaan yang sedia ada akan ditambah kemudahan untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selesa. Usaha ini akan dibuat berdasarkan keperluan, giliran dan kemampuan kewangan semasa. Sekolah Menengah Ugama Chenor, Sekolah Menengah Ugama Pelangai, Sekolah Menengah Ugama Al Attas Pekan akan diperbesarkan lagi. Asrama Lelaki Sekolah Menengah Ugama Bukit Ibam akan dibina.


88. Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran melaksanakan Kurikulum Pendidikan Islam bersepadu dengan Kurikulum Pendidikan Kebangsaan di semua Sekolah Menengah Kementerian di Negeri Pahang. Pendekatan bersepadu ini ialah untuk melahirkan pelajar Islam lulusan sekolah menengah yang mempunyai keperibadian yang baik di samping memiliki ilmu dan kemahiran moden.


89. Untuk mencapai matlamat ini, Kerajaan Negeri akan menempatkan seramai 350 orang Guru Al Quran di asrama Sekolah Menengah Ugama dan di asrama Sekolah Menengah Kementerian.


90. Kerajaan akan memastikan pelajar-pelajar di Sekolah Menengah Ugama tidak ketinggalan dalam pembelajaran Sains. Setakat ini Kerajaan telah membuka kelas aliran sains di enam buah Sekolah Menengah Ugama, iaitu di Sekolah Menengah Ugama Al Ihsan Kuantan, Sekolah Menengah Ugama Rompin, Sekolah Menengah Ugama Maran, Maahad Sultan Ahmad Shah Jengka, Sekolah Menengah Ugama Padang Tengku, Lipis dan Sekolah Menengah Ugama Al Khairiah, Temerloh.


91. Kita semua sedar bahawa kita semua pasti mati. Kerajaan Negeri akan memperkenalkan konsep 'Pusara Negeri' dan 'Pusara Daerah' hasil titah pandangan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang yang menyarankan agar dibuat perancangan untuk menjadikan tanah perkuburan sebagai sebuah 'taman'. Selain daripada itu, semua tanah perkuburan Islam di negeri ini akan dijagai supaya tidak dicerobohi oleh sesiapa.


92. Kerajaan akan bekerjasama dengan semua pihak untuk melipatgandakan usaha pengurusan halal haram barangan makanan untuk umat Islam. Langkah ini menjadi lebih relevan dengan pewujudan Hab Makanan Halal (Halal Food Hub) di Gambang.


Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,


18. PENDIDIKAN


93. Dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan sekarang ini, penguasaan ilmu sains dan teknologi menjadi sangat penting bukan sahaja untuk seseorang individu tetapi juga kepada pembangunan negeri dan negara.


94. Kerajaan Negeri akan meneruskan peranan menyediakan biasiswa, pinjaman dan bantuan pendidikan serta menganjurkan program sokongan bagi membolehkan pelajar-pelajar yang wajar dibantu terus mendapatkan peluang pendidikan yang sepatutnya. Peranan ini diserahkan kepada Yayasan Pahang.


95. Bagi tahun 2009, Yayasan Pahang menyediakan peruntukan lebih kurang RM 50 juta bagi menampung program bantuan dan sokongan pendidikan.


96. Sebanyak RM 12 juta diperuntukkan untuk Biasiswa Sekolah Menengah kepada hampir 25,000 orang pelajar dengan amaun RM 500.00 setahun untuk setiap orang pelajar. Sebanyak RM 4.1 juta diperuntukkan untuk Biasiswa Sekolah Rendah dengan amaun RM 250.00 setahun untuk setiap pelajar.


97. Yayasan Pahang akan terus melaksanakan Program Khas Sokongan Pendidikan untuk membantu pelajar di sekolah rendah dan di sekolah menengah mendapat keputusan cemerlang. Program ini meliputi Program Jawab Untuk Jaya, Program Intervensi Semua Satu A, Program Jejak Gemilang UPSR dan PMR, Program Puncak Jaya, Program Kem Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab serta Anugerah Menteri Besar Pahang. Peruntukan yang disediakan ialah sebanyak RM 2.3 juta.


98. Sebanyak RM 27.8 juta disediakan untuk program penajaan pendidikan tinggi dalam bidang pengajian selektif dan kritikal. Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) yang diberikan kepada pelajar yang sangat cemerlang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi dalam dan luar negeri akan diteruskan dengan tujuan melahirkan golongan intelek yang luar biasa dalam bidang akademik dan ko kurikulum.


99. Maahad Tahfiz yang dibangunkan oleh Yayasan Pahang bertujuan melahirkan golongan tahfiz profesional supaya menjadi pemimpin yang syumul yakni lengkap dengan ilmu dunia dan ilmu Akhirat. Sebanyak RM 1.3 juta diperuntukkan bagi menaja seramai 110 pelajar peringkat Diploma Tahfiz Al Quran dan Tahfiz Profesional.


100. Agenda Kecemerlangan Yayasan Pahang melangkah setapak lagi apabila IKIP, sebuah kolej swasta milik Yayasan Pahang diiktiraf oleh Kementerian Pengajian Tinggi sebagai Kolej Antarabangsa IKIP. Pada masa ini, IKIP mempunyai lebih daripada 4,000 orang pelajar dalam pelbagai bidang kemahiran profesional.


Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,


101. Kementerian Pelajaran akan meneruskan usaha meningkatkan akses dan kualiti pendidikan di semua peringkat persekolahan. Kerajaan mensasarkan semua sekolah rendah akan menyediakan pendidikan pra sekolah menjelang tahun 2010.


102. Sekolah-sekolah baru akan terus dibina dengan tujuan mengurangkan persekolahan dua sesi. Kementerian Pelajaran akan mengambil pendekatan membina sekolah secara 'fast track'. Di Negeri Pahang sahaja, 25 projek sekolah 'fast track' akan dibina bermula dengan 6 buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pelindung, Kuantan; Sekolah Menengah Kebangsaan Karak Setia, Karak; Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Isap Perdana,Kuantan; Sekolah Menengah Kebangsaan Gambang, Kuantan; Sekolah Kebangsaan Seri Pelindung, Kuantan; dan Sekolah Kebangsaan Kampung Belukar (Seri Belat), Kuantan.


103. Kementerian akan terus meningkatkan kualiti pendidikan bagi melahirkan modal insan yang memiliki jati diri yang tinggi, inovatif, berkemahiran, produktif, kreatif dan mempunyai daya saing yang tinggi selaras dengan keperluan pembangunan negara.


104. Bagi mencapai matlamat tersebut Kerajaan akan menambah bilangan tenaga pengajar berijazah di peringkat sekolah menengah sehingga 100 peratus dan di peringkat sekolah rendah 50 peratus.


105. Pada masa hadapan Kementerian akan memberikan tumpuan lebih kepada jurusan sains iaitu dengan nisbah 60 peratus jurusan sains dan 40 peratus jurusan sastera. Peluang untuk pelajar-pelajar di luar bandar dan pelajar-pelajar miskin tidak akan diabaikan dengan menyediakan asrama yang lengkap dengan kemudahan yang selesa untuk proses pembelajaran.


106. Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang akan terus memberikan kerjasama dan sokongan kepada Jabatan Pelajaran Negeri dengan menyediakan bantuan biasiswa, bantuan pendidikan dan peruntukan program sokongan seperti yang saya sebutkan tadi.


Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,


19. KUALITI HIDUP


107. Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat di negeri ini khususnya kepada golongan berpendapatan rendah supaya mereka semua merasai nikmat pembangunan negara. Hal berkaitan perumahan yang selesa, kesihatan dan kebajikan akan terus menjadi dasar penting dalam perancangan pembangunan negeri.


108. Di Negeri Pahang seramai 4,841 orang dikenalpasti tinggal di kawasan setinggan yang sebahagian besarnya di Daerah Kuantan. Kerajaan Negeri dengan kerjasama Yayasan Perumahan Untuk Termiskin akan membina lebih banyak lagi rumah pada masa hadapan untuk disewakan pada kadar yang rendah yang termampu oleh golongan ini.


109. Perumahan kos rendah yang berkualiti dan selesa di kawasan yang sesuai akan dibina untuk memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri. Walaupun mereka tidak mempunyai bukti berpendapatan tetap, Kerajaan akan terus membantu golongan ini melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan dengan dana sebanyak RM 2 bilion yang akan memberikan kemudahan pinjaman kepada lebih dari 40,000 orang peminjam. Di Negeri Pahang, sehingga hari ini sebanyak 186 permohonan telah diluluskan dengan nilai RM 5.9 juta.


110. Kualiti perkhidmatan kesihatan untuk seluruh lapisan masyarakat akan ditingkatkan supaya rakyat sentiasa sihat dan boleh berikhtiar dalam kegiatan ekonomi bagi mencapai taraf hidup yang lebih selesa.


111. Bagi mengurangkan beban penyakit terutama di kawasan terpinggir seperti di Perkampungan Orang Asli, 61 buah Klinik Kesihatan, 8 Klinik Kesihatan Ibu dan Anak dan 247 Klinik Desa telah sedia ada memberikan perkhidmatan mesra kepada rakyat. Hampir 60 peratus Klinik Kesihatan mempunyai Mesin Ultra Sound dan lebih 50 peratus mempunyai Mesin Ujian Darah (haemotology analyser).


112. Untuk mengurangkan penyakit berjangkit seperti Demam Denggi, program COMBI (Communicational Behavioral Impact) yang menggalakkan penglibatan masyarakat mencegah penyakit berjangkit dilaksanakan.


113. Premis makanan yang terdapat di negeri ini digredkan melalui program penggredan premis makanan. Ianya dikelaskan mengikut tahap kebersihan sama ada A, B dan C dan plat gred ini dipamerkan untuk dilihat oleh pengguna. Langkah ini bertujuan supaya rakyat sentiasa dapat menikmati makanan yang bersih.


114. Kualiti hidup rakyat termasuk di kawasan luar bandar ternyata semakin meningkat. 98.7 peratus daripada mereka telah menikmati bekalan air masyarakat; 98.1 peratus menggunakan tandas curah sanitari; 65.4 peratus mempunyai sistem pelupusan air lembah; dan 61.4 peratus mempunyai tempat sistem pelupusan sampah.


115. Langkah meningkatkan taraf dan kualiti hidup ini ternyata mengurangkan kes-kes kesihatan. Kadar Kematian Ibu Bersalin menurun dari 82.4 kes bagi setiap 100,000 kelahiran pada tahun 2004 kepada 41.2 kes bagi setiap 100,000 kelahiran pada tahun 2007. Pada tahun 2008 kes demam denggi turun sebanyak 56.6 peratus berbanding tahun 2007. Kes HIV juga menurun dari 58.3 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2004 kepada 26.7 kes bagi setiap 100,000 kes pada tahun 2007.


116. Satu perkara yang membimbangkan ialah walaupun statistik kes penyakit berjangkit semakin berkurangan namun kes penyakit tidak berjangkit seperti Penyakit Jantung, Diabetes dan Kanser semakin meningkat. Kesemua penyakit ini adalah penyebab utama kematian.


117. Kerajaan menyediakan perkhidmatan saringan faktor risiko Penyakit Kardiovaskular, Kanser Pangkal Rahim dan juga menyediakan perkhidmatan pemeriksaan payu dara dan ujian penyakit Diabetes supaya penyakit tersebut dapat dikesan lebih awal.


118. Pada tahun 2003, Kerajaan Negeri telah melaksanakan langkah memberi bantuan kewangan secara terus kepada golongan miskin dan yang memerlukan. Mereka yang termasuk dalam golongan ini ialah orang tua, anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal yang miskin.


119. Untuk tahun 2009, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM 12 juta untuk membiayai program ini.


Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,


Pihak Berkuasa Tempatan


120. Kerajaan Negeri akan memastikan supaya semua Pihak Berkuasa Tempatan menambahbaik lagi perkhidmatan mereka yang sudah sedia baik kepada orang ramai khususnya yang di dalam kawasan operasi dan kawasan kawalan masing-masing. Orang ramai pula mestilah menjalankan tanggungjawab mereka dengan melunaskan cukai supaya Pihak Berkuasa Tempatan mempunyai punca kewangan yang memadai untuk memberikan perkhidmatan asas seperti melupuskan sampah dan membersihkan parit dan saliran.


121. Ada laporan yang diterima oleh Kerajaan Negeri bahawa dalam perancangan projek pembangunan di sesuatu tempat terdapat ketidaksesuaian projek dengan lokasi projek sehingga menimbulkan kesusahan dan kesulitan kepada orang ramai. Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri bercadang untuk mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan merujuk kepada Kerajaan Negeri sebelum sebarang kelulusan sesuatu perancangan dilaksanakan.


Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,


Belia dan Sukan


122. Belia yang berkualiti merupakan aset penting kepada pembangunan negara khususnya untuk melahirkan bakal pemimpin pada masa hadapan termasuk juga jaguh sukan untuk menaikkan nama negara dalam pertandingan di peringkat antarabangsa.


123. Golongan belia mesti melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang yang bukan sahaja boleh menjana pendapatan (jika mereka menjadi ahli sukan profesional) tetapi juga boleh mencegah gejala sosial di samping memupuk perpaduan dan keharmonian di kalangan masyarakat.


124. Kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif untuk golongan belia menyertai persatuan dan pertubuhan yang sah dan sihat bagi memantapkan kualiti kepimpinan dan toleransi bermasyarakat. Peranan semua pihak termasuk sektor swasta juga penting bagi membantu golongan belia bergiat aktif dalam sukan dan kegiatan kemasyarakatan melalui penajaan dan sumbangan kewangan mereka.


125. Kerajaan Negeri mensasarkan Pahang menjadi Johan dalam Temasya Sukan SUKMA pada tahun 2010 nanti. Program yang disusun menumpukan kepada 25 jenis sukan yang boleh menghasilkan pingat kepada Negeri Pahang seperti sukan olahraga dan sukan menembak.


126. Rekod menunjukkan pencapaian atlet Negeri Pahang dalam sukan peringkat kebangsaan dan sukan SEA amat baik. 38 orang atlet negeri ini telah mewakili negara dalam temasya sukan SEA di Korat, Thailand. 18 orang dari mereka berjaya mendapat pingat untuk negara iaitu 1 pingat emas 2 pingat gangsa bagi acara individu dan 7 pingat emas serta 2 pingat gangsa bagi acara berpasukan.


127. Saudara Amirul Hamizan Haji Ibrahim, anak watan Negeri Pahang, telah terpilih mewakili negara dalam sukan Olimpik 2008 di Beijing, China. Sungguhpun beliau tidak memperolehi pingat di temasya sukan berprestij tersebut namun beliau telah berjaya menempatkan diri dalam kelompok 8 atlet terbaik dunia dalam sukan angkat berat bagi kategori 56 kg.


Pelancongan


128. Infrastruktur pelancongan akan terus diperbaiki di samping menambah produk baru pelancongan supaya lebih ramai pelancong berkunjung ke Negeri Pahang. Kerajaan akan terus mempromosikan produk-produk pelancongan di negeri ini melalui penerbitan bahan promosi dan misi menarik pelancong luar negara datang menyertai acara-acara utama Kalendar Tahunan Pelancongan Pahang seperti 'Kuantan Challenge', Ekspedisi Berakit Antarabangsa Sg. Pahang, Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser, 'Royal Pahang International Billfish Challenge', 'Tioman Mega Dive' dan 'Taman Negara Eco-Challenge'.


129. Kerajaan akan terus memelihara dan memulihkan tapak-tapak bersejarah, membangunkan laman web pelancongan, memupuk hubungan yang mesra dengan media cetak dan elektronik serta membangunkan modal insan yang mesra pelancong di samping memastikan destinasi pelancongan sentiasa selamat.


130. Kedatangan pelancong ke Negeri Pahang telah meningkat kepada lebih dari 10 juta orang dalam tahun 2007. Mereka telah membelanjakan lebih dari RM 10 bilion. Kerajaan telah mendapat hasil melalui cukai jualan melebihi RM 149 juta. Pihak Berkuasa Tempatan pula memperoleh pendapatan lebih dari RM 9.5 juta melalui cukai pintu dari premis-premis pelancongan.


131. Yang menjadi masalah ialah kekangan kewangan yang menyebabkan Kerajaan Negeri tidak dapat menyediakan peruntukan yang banyak untuk membangunkan subsektor pelancongan. Ini disebabkan tidak ada hasil dan cukai yang dipungut dari subsektor ini yang dikutip oleh pihak Negeri. Hasil dan cukai dikutip oleh Kerajaan Persekutuan dan Pihak Berkuasa Tempatan seperti yang saya sebutkan tadi. Kita memerlukan peruntukan kewangan yang berterusan dari Kerajaan Persekutuan untuk memajukan subsektor pelancongan ini.


Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,


Penambahbaikan Sistem Pentadbiran


132. Saya mengucapkan Syabas dan Tahniah kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang kerana telah mencatat sejarah sebagai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang pertama di Malaysia yang telah memperolehi pensijilan MS ISO 9001:2000 pada 18 April 2008 yang lalu. Pensijilan ini merangkumi kesemua 10 unit di bawah pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dengan melibatkan sebanyak 59 Prosedur Kualiti.


133. Kejayaan ini diharap akan memberikan suntikan semangat kepada pegawai dan kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang untuk terus meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada rakyat. Pejabat Setiausaha Kerajaan akan mula melaksanakan Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicators – KPI), 'STAR rating' dan perancangan strategik pada masa hadapan.


134. Tindakan penambahbaikan sistem penyampaian ini akan diperluaskan kepada semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri termasuk di peringkat daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan. Saya berharap usaha menambahbaik sistem pentadbiran negeri akan terus dipertingkatkan khususnya mengenai keutuhan pengurusan dan integriti penjawat-penjawat awam dalam melaksanakan tanggungjawab memberikan perkhidmatan kepada rakyat.


135. Kerajaan Negeri serius mengenai aspek integriti dalam perkhidmatan awam kerana ianya melibatkan maruah dan imej jabatan kerajaan dan seterusnya imej Kerajaan sendiri. Kecekapan, kemahiran dan kompetensi seseorang tidak ada sebarang makna sekiranya kelebihan tersebut digunakan untuk mengambil kesempatan bagi kepentingan peribadi. Ingatlah, pekerjaan di dunia ini kalau niatnya kerana Allah Subhanahu Wata'ala akan mendapat ganjaran sewajarnya, kalau tidak di dunia, di Akhirat.


136. Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat dan keperluan pengurusan moden, Kerajaan Negeri akan terus membangunkan sistem-sistem aplikasi pengurusan yang mesra pelanggan melalui penyediaan infrastruktur ICT yang baik di samping pembangunan rangkaian capaian yang berkuasa tinggi.


137. Selaras dengan itu, Kerajaan Negeri akan menyediakan kemudahan infrastruktur ICT sewajarnya agar perkhidmatan kepada rakyat tidak terganggu di samping sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kakitangan pengurusan ICT. Apa pun sistem ICT yang dibangunkan hendaklah mesra pelanggan, meningkatkan kecekapan jentera pelaksanaan dan yang lebih pentingnya boleh meningkatkan hasil kerajaan.


Pengurusan Kewangan


138. Saya ingin memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini bahawa Ketua Audit Negara telah memberikan Sijil Bersih untuk kali yang ke lapan berturut-turut kepada Kerajaan Negeri Pahang bagi Pengurusan Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun 2007. Mulai tahun 2007, Jabatan Audit Negara telah memperkenalkan Indeks Akauntabiliti untuk membuat penilaian secara objektif terhadap pengauditan kewangan jabatan dan agensi kerajaan bagi pengukuran dan penambahbaikan kawalan pengurusan kewangan kerajaan.


139. Perlaksanaan Indeks Akauntabiliti ini adalah untuk mewujudkan budaya kerja berasaskan amalan baik bagi meningkatkan kecemerlangan pengurusan kewangan kerajaan berasaskan integriti, keutuhan dan akauntabiliti. Pihak Ketua Audit Negara telah memberikan taraf empat (4) bintang iaitu Baik kepada Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri mengenai pengurusan kewangan tahun 2007.


140. Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Pahang telah dianugerahkan taraf lima (5) bintang iaitu Sangat Baik. Bersama dengan Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri menerima taraf empat (4) bintang adalah Pejabat Tanah dan Daerah Temerloh, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri, Pejabat Pembangunan Negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang, Perbadanan Bukit Fraser dan Majlis Daerah Rompin. Sementara Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang pula dianugerahkan taraf tiga (3) bintang iaitu Memuaskan.


141. Oleh kerana perbelanjaan semakin meningkat berbanding hasil yang boleh dijanakan, saya meminta semua Ketua Jabatan agar meningkatkan prestasi pengurusan kewangan dengan mengambil tindakan proaktif dari segi pembetulan dan pencegahan kelemahan-kelemahan dalam pengurusan kewangan.


142. Semua Ketua Jabatan diingatkan agar sentiasa berjimat, berbelanja hanya untuk perkara-perkara yang mustahak sahaja dan sentiasa memikirkan kesan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan. Saya meminta Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri mengatur tindakan auditan bersama Jabatan Audit Negara dan Unit Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan terhadap semua Pusat Tanggungjawab bagi memastikan kelemahan pengurusan kewangan diatasi.


20. PENUTUP


Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,


143. Sebelum saya mengakhiri Ucapan Bajet ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan semua pihak mengenai beberapa perkara. Krisis kewangan global yang sedang dialami oleh negara-negara maju sekarang nampaknya sukar diatasi. Sebagai sebuah negara yang banyak bergantung kepada perdagangan luar terutama dengan negara-negara maju termasuk Amerika Syarikat dan Eropah, kesan krisis kewangan di negara-negara tersebut lambat laun akan menular ke negara kita.


144. Pakar-pakar ekonomi menjangkakan krisis ini akan berpanjangan dan membantutkan pertumbuhan di negara-negara sedang membangun seperti kita. Pasaran saham khususnya bagi syarikat yang ada kaitan dengan luar negara diramalkan mengalami tekanan jualan. Walau bagaimanapun, kerajaan telah bersedia dengan beberapa tindakan untuk menstabilkan kedudukan kewangan negara dan seterusnya mengurangkan kesan negatif kepada rakyat. Saya minta Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri memastikan tindakan bertepatan dilaksanakan dalam penjimatan perbelanjaan wang kerajaan.


145. Rakyat mestilah bersedia untuk mengubah cara hidup agar sentiasa berjimat dalam berbelanja dan dalam masa yang sama, bagi mereka yang tidak makan gaji, melipatgandakan usaha menambah pendapatan. Kadang-kadang krisis sebegini ada baiknya. Ianya mengingatkan kita supaya tidak bersikap tamak dan hidup di luar kemampuan. Ianya menyedarkan kita supaya sentiasa mempunyai simpanan (bekalan) untuk menghadapi waktu susah.


146. Hasil Kerajaan Negeri pada tahun 2009 dijangka tidak meningkat sedangkan perbelanjaan terus meningkat. Kerajaan Negeri tidak seperti Kerajaan Persekutuan, kita tidak mempunyai ruang yang banyak untuk menaikkan kadar cukai. Kenaikan kadar cukai seperti cukai tanah contohnya, akan membebankan rakyat yang semakin tertekan dengan kenaikan kos hidup akibat kenaikan harga barangan. Kerajaan cuma minta semua pihak yang wajib membayar cukai melunaskannya. Jika tidak, Kerajaan akan menghadapi masalah menguruskan pentadbiran, bukan untuk faedah sesiapa, tetapi untuk faedah rakyat semua.


147. Bagi meningkatkan hasil Kerajaan Negeri, kita akan menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi mengkaji sumber-sumber yang boleh mendatangkan hasil baru, walaupun sedikit, di samping pembangunan sistem bagi membolehkan rakyat membayar cukai secara mudah.


148. Kerajaan juga akan mengkaji semula pemberian geran mengurus yang disalurkan kepada agensi-agensi kerajaan dan badan-badan berkanun yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh. Kerajaan akan menggesa semua agensi dan badan-badan berkanun yang mendapat pinjaman dari Kerajaan Negeri membayar pinjaman dan tunggakan pinjaman.


149. Saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak khususnya rakyat di Negeri Pahang yang terus memberikan pengiktirafan dan sokongan kepada Kerajaan hari ini untuk terus menerajui pemerintahan di negeri ini. Saya berharap agar semua Yang Berhormat Wakil-Wakil Rakyat yang ada di Dewan yang mulia ini meningkatkan usaha menyelesaikan masalah dan membangunkan kehidupan rakyat di kawasan masing-masing.


150. Kita berada di sini kerana kepercayaan rakyat kepada kita menyelesaikan masalah mereka. Kita sebenarnya bukan Yang Berhormat tetapi kita adalah Wakil Rakyat. Rakyat lebih memerlukan wakil mereka sentiasa berada bersama mereka merasai susah senang dan membawa masalah mereka kepada pihak yang berkaitan untuk diselesaikan. Kepercayaan rakyat kepada kita adalah amanah dan sebagai orang Islam amanah ini akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Subhanahu Wata'ala di Akhirat nanti. Bagi Wakil Rakyat bukan Islam, melaksanakan sesuatu tanggungjawab adalah satu nilai yang murni.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

151. Saya yakin bahawa dengan sokongan dan iltizam yang ada berserta pengalaman, kemahiran dan kebijaksanaan di kalangan semua Yang Berhormat Wakil-Wakil Rakyat, pegawai dan kakitangan kerajaan dan rakyat sekalian, kita mampu mengharungi keadaan sukar dalam tahun-tahun akan datang, Insya Allah. Marilah bersama-sama kita berdoa kepada Allah Subhanahu Wata'ala agar diberikan kejayaan di dunia dan Akhirat.


Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,
Dengan doa dan harapan, saya mohon mencadangkan.

WABILLAHI TAUFIK WALHIDAYAH
WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.

Comments

  1. Thanks, the MB is quite sarcastic.

    ReplyDelete
  2. Salam. Saya letakkan blog Dato' dlm blog Himpunan Blog Pahang.

    ReplyDelete
  3. Hai Tok..I do not know how to comment about the budget..but I do know Dato' Seri must have taken a painstaking time to prepare it.Do you think many of our Aduns faham what MB is trying to sampaikan?

    Ker ada yang badan dalam dewan,kepala dah merapu entah ke mana.Hopefully,jangan nampak obvious sangat they actually tak paham apamende MB nak cakap.Sorry Tok..Budget matter is a very serious topic..so thats why I had to ask.

    ReplyDelete
  4. mamasita,
    MB spent almost a week of sleep less nites to prepare the budget & had me for company.
    Our Aduns for this term are not bad. Don't underestimate them. They are good in their individual fields. I observe them to be very dedicated and attentive to the speech.

    ReplyDelete
  5. salam mamamia, sorry to bother u. anyway that's not good to think that all aduns are not willing to understand what mb's wants from the budget, as u & we know, only pembangkangs always don't know what mb's & govt wants to, 'pembangkangs' the stupido mens' always looking for somethings that never helps dewan to agree what's good for the sake of rakyat. i'm confidence that our mens will do the best ,it's not only for mb's but also for the beloved rakyat...salammmia...

    ReplyDelete
  6. Thank you d s n..my deepest apologies if I have insulted or upset anybody..I am so very sorry ye?Thanks again.

    ReplyDelete
  7. mamasita,
    Apologies accepted. To err is human to forgive is divine. Needless to say our ADUNs are doing well this term. I only wish to state that pembangkang are the hopeless one. Not much debate by them & its a waste that the rakyat had put them in the Dewan!

    ReplyDelete
  8. people should really read this as the mb spent days working on it. assisted by the political secretary. :P

    ReplyDelete
  9. Adakah Anda Perlu Segera Kewangan Pinjaman Kredit?
    * Pemindahan Sangat cepat dan cepat ke akaun bank anda
    * Bayaran balik bermula 8 bulan selepas anda mendapatkan wang
    * Kadar faedah yang rendah sebanyak 2%
    * Bayaran balik jangka panjang (1-30 tahun)
    PERMOHONAN PINJAMAN
    ================================
    Nama: ........ ........... nama Kedua: ...............
    Alamat : .................
    Negara: ............ .... Umur: ..........
    Seks: ......... ............. Nombor Telefon: ..............
    Status: ....... ............ Pekerjaan: ...............
    kedudukan: ................ Pendapatan bulanan: ..............
    Jumlah Pinjaman: Tujuan ........ Pinjaman: ............
    jangka masa: ....................
    Pernahkah anda memohon pinjaman sebelum: ................
    Awak faham Inggeris : ..........
    sila mengisi dan menghantar borang ini kepada:
    E-mel: rapidmoneyloans@gmail.com
    Yang ikhlas,
    Kerry Steves
    C.E.O Rapid Pinjaman Wang

    ReplyDelete

Post a Comment

No comment moderation but need to know who is commenting. Please let us know who you are. Keep it as professional as possible. Didn't we agree to disagree? Regards and best wishes.(DSN)

Popular posts from this blog

Prerogative of Mercy. Beg Your Pardon...

Ada terpandang video oleh Zaid Ibrahim tentang Pardon. Dia kata itu Prerogative of Mercy oleh Agong dan Raja2. High Prerogative of Mercy....or something like that lah. Itu betul. Tapi kalau nak kata process itu tidak ada procedure tak betul lah. Perlembagaan kita dan Akta Penjara telah tetapkan procedure nya. Agong & Raja2 juga perlu bertindak ikut Perlembagaan dan Undang2. Maka itu lah sebabnya digelar Raja Berperlembagaan. Dalam Perlembagaan ditetapkan mesti diadakan Pardons Board yang dipengerusikan oleh Tuanku sendiri. Antara lain Pardons Board itu akan bermesyuarat, pertimbangkan Petisyen yang dikemukakan, dapatkan nasihat dan pandangan ahli Pardons Board itu dan minta nasihat dan pandangan dari Peguam Negara. Bukan macam cerita filem purba. Bukan macam cerita Sultan Melaka ampunkan Hang Tuah untuk tujuan suruh bertikam dengan Hang Jebat. Bukan sebab Sultan Melaka menyesal tersalah hukum Hang Tuah. Bukan ampunkan Hang Tuah sebab Hang Jebat handal sangat dan hanya Hang Tuah sah

Setiausaha Politik selama 18 tahun (2000-2018)

Apabila YB Dato' Adnan Yaakob dilantik sebagai Menteri Besar Pahang, beliau telefon saya bertanya samada saya hendak tak datang ke Kuantan bekerja dengan dia. "Sam, Long ingat elok awak berubah angin. Mari datang Kuantan kerja dengan Long". Begitu lah kata-kata beliau. Kebetulan tahun 1999 itu saya kurang betul menumpukan perhatian kepada kerja-kerja sebagai lawyer. Anak saya baru meninggal pada 20hb August 1998. Dato' Adnan dilantik sebagai MB pada 25hb Mei 1999. "Come lah work with me. We see how I can place you in the MB's Office" Begitu lah Long Nan beritahu saya. "Boleh lah Long. Setahun dua boleh kot. I like myself more as lawyer, Long...." "OK...mari lah setahun dua" Itu jawab Dato' Adnan. "Tapi Long tak boleh lah bagi awak gaji besar Sam...." Sambung Dato' Adnan. "Kita tengok lah mana yang sesuai". Tambah beliau. Pada mulanya sejak bulan Mei 1999 itu saya hanya berulang alik KL-Kuantan. Tujuan

SEJARAH HITAM PELANTIKAN MOHAN SEBAGAI PEGUAM NEGARA MESTI DIPUTIHKAN.

PEGUAM NEGARA (ATTORNEY GENERAL) DAN PENDAKWARAYA (PUBLIC PROSECUTOR) SEJARAH HITAM PELANTIKAN MOHAN YANG MESTI DIPUTIHKAN. 1. Jawatan Peguam Negara adalah lantikan dibawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan oleh Yang diPertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. 2. Peguam Negara adalah Peguam kepada Negara dan bertanggungjawab menasihati Agong, Jemaah Menteri dan Menteri dalam hal ehwal Undang-Undang. 3. Peguam Negara adalah juga seorang Pendakwaraya yang mengikut budibicaranya boleh memulakan, membawa, menjalankan atau memberhentikan apa-apa perbicaraan jenayah. Untuk tugas ini dia dipanggil Public Prosecutor. Namun begitu tugas itu tidak termasuk proceeding di mahkamah Syariah, mahkamah Native atau mahkamah tentera. 4. Jawatan itu adalah atas perkenan Agong dan dia boleh meletakkan jawatan pada bila-bila masa. 5. Peguam Negara boleh menentukan mahkamah mana apa-apa proceeding jenayah hendak dijalankan dan boleh juga pindahkan proceeding jenayah ke mahkamah yang dia fikir